July 29, 2015

Rasa Seperti Orang Kaya

Assalamualaikum.

Nak merasa jadi orang kaya? Bolehlah cuba amalkan tips di bawah.
Selain daripada dapat merasa macam jadi orang kaya, dapat juga membantu orang lain.

  • Lepas makan di restoran, gerai atau warung, tinggalkan sahaja duit baki/balance yang seringit dua atau beberapa sen tu sebagai tips kepada orang yang 'serve' kita. Rasanya tak luak pun duit dalam poket. Jutawan pun belum tentu boleh buat.
  • Jika kita singgah solat di mana-mana surau atau masjid, jangan lupa selepas solat seluk poket cari note paling besar untuk disedekahkan di tabung masjid. Manalah tahu, itu mungkin sumbangan terakhir kita. Hanya orang yang betul-betul kaya mampu berbuat demikian.
  • Cuba ubah tempat shopping barang keperluan harian. Sila ke tempat-tempat seperti kedai kecil, pasar tani dan pasar pagi. Boleh juga tolong peniaga-peniaga kecil. Juga ingat, tak perlu berkira sangat untuk tawar menawar sayur atau lauk-lauk mentah tu, kecualilah harganya melampau sangat.
  • Time nak belikan mainan anak, cuba bawa mereka ke pasar malam. Dengan RM10, macam-macam mainan boleh dibeli. Kalau dibandingkan dengan pasar raya besar, RM10 tu, hanya untuk bayar parking sahaja agaknya
  • Bila naik teksi, genapkan sahaja tambang tu dengan niat untuk bersedekah. Jika mereka diberi peluang, mungkin mereka juga tidak mahu untuk menjadi pemandu teksi. Tak semua orang mampu dan berpeluang untuk naik teksi dan jadi penumpang.
  • Ada kalanya, sewaktu beratur di kaunter mini market, kita terjumpa kanak-kanak merengek mahukan jajan atau gula-gula. Apa salahnya tolong ambil dan bayarkan. Cuba buat mereka tersenyum.
  • Jika kita berpeluang untuk melawat orang sakit di hospital dan sewaktu membeli buah tangan, apa kata belikan extra 1 pack. Berikan pada jiran katil sebelah dan doakan kesejahteraan mereka. Pasti besar nilainya bagi orang yang sedang sakit jika mendapat ingatan yang sebegitu.
Sebenarnya, kita tidak perlu sebab dan alasan tertentu untuk menjadi seperti orang kaya. Semuanya boleh dilakukan bila-bila masa kerana yang penting adalah keikhlasan.



Cubalah praktikkan tips-tips di atas. In shaa Allah kita akan rasa seperti orang kaya dan tidak perlu bimbang akan menjadi papa kedana jika melakukan perkara-perkara tersebut. 
Semoga kita boleh terus menjadi tangan yang memberi....Aamiin

Sekian. Wassalam.

Sumber: Perkongsian dari whatsapp
Gambar : Google

Thank You Anies

Assalamualaikum.

Sampai di rumah semalam saya dikejutkan dengan kehadiran sampul surat yang di dalamnya ada hadiah istimewa. Walaupun nama pengirimnya tidak dituliskan, tapi saya boleh agak siapa.


Thanks Anies for the lovely fridge magnet and ang pow packet...cute kan.


Kepada sesiapa yang belum mengenali blogger Anies, silalah ke blognya di
aniesandyou.blogspot.com
Macam-macam cerita dan maklumat ada. Tak rugi singgah.

Kepada Anies, terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Semoga persahabatan berkekalan dan semoga dapat juga berjumpa di alam nyata juga satu hari nanti.


Sekian. Wassalam.




July 28, 2015

Kek Pisang

Assalamualaikum

Perasaan teruja ingin mencuba resipi kek pisang dari blog periuk tanah (periuktanah.blogspot.com) timbul kerana bancuhannya hanya menggunakan 'blender' dan sukatannya menggunakan cawan. Jadi, tak perlu susah-susah nak keluarkan mixer dan alat penimbang. Resipinya juga simple dan sesuai untuk orang yang baru belajar macam saya.


Jom kita tengok resipinya.
Bahan-bahan:
  • 4 biji pisang emas (di potong kecil-kecil dan dilenyek)
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan minyak masak (saya guna minyak jagung)
  • 4 biji telur (gred A)
  • 1 1/2 cawan tepung gandum. Diayak bersama 1 sudu teh baking powder dan 1 sudu teh soda bikarbornat.
  • 1 sudu teh esen vanila atau esen pisang (saya guna esen vanila).
  • Sedikit perahan air limau nipis (saya tak guna sebab tak sempat nak beli limau..huhu)

Cara-cara:
  • Panaskan oven ke suhu 185c - api atas bawah
  • Sediakan loyang 4 persegi. Lenserkan dengan magerine dan alas dengan kertas minyak.
  • Kisar gula, telur dan minyak di dalam 'blender' hingga putih (anggaran dalam 3 ke 5 minit).
  • Tuangkan bahan yang telah diblend ke dalam mangkuk. Masukkan campuran tepung. Kacau rata dengan senduk.
  • Masukkan pisang yang telah dilenyek dan esen vanila. Gaul sebati.
  • Tuangkan bahan ke dalam loyang pembakar. Masak dalam oven selama 45 minit atau kek telah menjadi keperangan. Setelah itu cucuk bahagian tengah kek dengan lidi sate untuk pastikan yang kek telah masak sempurna atau tidak.

Sekian. Selamat mencuba.

Nota: Resipi kek pisang ini adalah benar dan bukan seperti resipi kulit pisang :)

Baca juga resipi cup cake oren dan cerita tentang kulit oren.

Wassalam.






July 23, 2015

Mak Odah


Assalamualaikum

Adakah anda termasuk dalam golongan berikut?

  • Ibu bekerjaya yang ingin selalu memasak untuk keluarga tapi tidak berkesempatan untuk berbuat demikian kerana sibuk.
  • Suami yang hatinya mulia untuk membantu isteri memasak tetapi tidak begitu arif tentang rempah ratus di dapur, apa lagi untuk memasak makanan seperti asam pedas Johor, rendang tok atau opor ayam.
  • Si dara, si bujang teruna atau siapa sahaja yang ingin memasak untuk housemate setelah jemu dengan masakan di kedai tom yam depan rumah atau mamak kat tepi simpang.
  • Keluarga atau individu yang ingin mengubah gaya hidup dengan makan masakan dari rumah sahaja sebagai langkah berjimat cermat setelah wujudnya GST. Tetapi masakkan nya tidaklah terhad kepada nasi goreng atau telur dadar sahaja :)
  • Seseorang yang baru sahaja menerima panggilan telefon dari Tok Ayah yang mengatakan bahawa sanak saudara seramai 20 orang akan datang beraya dalam masa 15 minit lagi. Dan di rumah anda hanya ada lemang, ketupat dan ayam mentah sahaja. Jadi bagaimana? Tak kan nak bagi tetamu makan lemang cicah air milo pulak kan..kan...huhu
Kami ada solusi untuk masalah anda. 
Pilihlah rempah MAK ODAH yang dijamin sedap, halal dan toyyibah.

Rempah MAK ODAH disediakan untuk membantu anda menyediakan masakan yang lazat dalam masa beberapa minit sahaja. Antara rempah yang disediakan:
  • Asam pedas Johor
  • Sambal tumis
  • Kari kapitan
  • Masak kurma
  • Rendang tok
  • Masak opor
  • Gulai kawah
  • Masak lemak cili api
  • Kari ikan
  • Masak ungkep
Silalah menghubungi nombor telefon yang tertera di bawah. Harga sepeket hanya RM6 sahaja (boleh dimakan untuk 5 ke 6 orang sekali masak). 
Kos peghantaran (Pos) adalah RM6 bagi Semenanjung Malaysia dan RM10+ bagi Sabah & Sarawak.


Ini adalah masakan rendang tok yang disediakan di dapur rakan saya. Cara-cara memasak menggunakan rempah MAK ODAH ada disediakan di peket. Hanya perlu ikut..step by step. In shaa Allah menjadi dan rasanya tidak mengecewakan.
Bila dah menjadi, jangan lupa ajak kawan-kawan, sanak saudara serta jiran tetangga makan juga. Pasti anda akan semakin disayangi oleh mereka kerana pandai memasak dan juga baik hati :)

Selamat mencuba.
Sekian. Wassalam.

July 22, 2015

Jam Tangan Wanita

Apa ada dengan jam tangan?
Jam tangan bukanlah hanya sekadar alat pengukur waktu. Ianya telah menjadi aksesori penting untuk pelengkap gaya. Selain daripada itu, jam tangan juga melambangkan personaliti seseorang.

Walaupun jam tangan amat mudah untuk di dapati di pasaran, kita perlu juga tahu tips-tips penting sebelum membelinya. Takut nanti bila dah 'invest' dengan jumlah yang mahal, tidak sesuai pula dengan gaya si pemakai. Rugi juga kan..

Untuk entri kali ini, kita akan berbincang mengenai beberapa tips membeli jam tangan wanita. Berbeza dengan rekaan jam tangan lelaki, koleksi jam tangan wanita biasanya diberikan sentuhan feminine dan direka untuk bersesuaian dengan imej wanita itu. Untuk membuat pembelian seutas jam tangan yang baik, anda haruslah mengambil kira beberapa faktor seperti berikut

Tips Membeli Jam Tangan Wanita:
Tips 1



Pertama sekali, beli jam tangan keluaran jenama yang anda percayai dan diketahui umum akan kualiti jam tangan yang dihasilkan. Nama-nama besar seperti Rolex, Police, Tissot adalah antara jenama yang tersohor di dunia. Tapi....biasalah, bila nama besar, harganya juga pasti 'besar'. Jadi, untuk anda yang mungkin tidak mempunyai budget yang besar tetapi ingin membeli seutas jam tangan yang berkualiti tinggi, anda boleh mengambil Fossil dan Casio sebagai jenama pilihan anda.



Tips 2
Pilih rekaan jam tangan yang 'simple' dan 'clean'. Biasanya rekaan seperti ini lebih 'elegant' dan cantik. Ini menjadikan penampilan anda lebih berkeyakinan dan semestinya meningkatkan kerdibiliti anda. Ingat.....LESS IS MORE




Tips 3
Dan tips yang terakhir sekali, pilih rekan jam tangan yang versatile. Atau dengan kata lain, rekaan jam tangan yang boleh anda padankan dengan apa jua jenis pakaian. Untuk rekaan jam tangan seperti ini, anda boleh memadankannya dengan pemakaian kasual seperti jeans dan t-shirt serta sesuai juga untuk pakaian formal seperti baju kurung.


Semoga tips-tips ini berguna bagi sesiapa yang sedang bercadang untuk membeli jam tangan.
Dan kepada sesiapa yang sedang tercari-cari sesuatu yang istimewa untuk dijadikan hadiah hari jadi, ulang tahun perkahwinan, hantaran pertunangan/perkahwinan atau apa saja 'occasion', pastikan jam tangan termasuk dalam senarai hadiah pilihan anda. Selain daripada menjadi alat pengukur masa, jam tangan pastinya bisa menjadi hadiah berharga dan biarkan kenangan itu menjadi detik indah dalam hidup wanita kesayangan anda.

Sekian, Wassalam.





Kita Tak Dapat Meraikannya Bersama


Kisah 1
1 Syawal. Walaupun di subuh hari adalah waktu yang sibuk untuk memasak juadah raya, namun suasananya tidak sama seperti ketika arwah emak masih ada. Tiada lagi suara emak menyuruh mengupas bawang, memotong daging atau menghidang kuih raya. Semuanya dilakukan sendiri. Rindunya hati ini untuk makan rendang dan serunding masakan emak. Sayunya hati ini bila tidak lagi dapat bersalaman dan mencium tangan emak. Segalanya sepi. Yang tinggal hanyalah kenangan indah bersama arwah emak dan kasih yang tiada penghujung. Semoga Allah merahmati Allahyarhamah ibu saya. Al-Fatihah.


Kisah 2
1 Syawal. Melihat keriangan kanak-kanak di pagi yang mulia ini mengingatkan saya pada arwah anak, Muhammad Adli. Kalaulah arwah masih ada, pasti dia kan turut bergembira meraikan hari kemenangan ini bersama abang dan adiknya. Foto keluarga kami pastinya lebih lengkap jika arwah Adli ada. Terlalu sedih hati ini bila mengenangkan bagaimana perasaannya jika dapat menciumnya di pagi raya, melihatnya memakai baju baru dan memasakkan makanan kesukaannya. Namun itu hanyalah suatu impian yang tak mungkin kesampaian. Betapa saya merinduinya setiap hari. Kasih sayang seorang ibu tiada sempadan, walau hanya dapat berjumpa dalam mimpi. Al-Fatihah.


Kisah 3
1 Syawal. Berhampiran dengan pusara arwah nenek, ada pasangan cina yang sudah tua (anggaran umur 60 an). Memakai seluar dan Tshirt berlengan pendek. Kehadiran pasangan cina (mungkin bukan beragama Islam jika dilihat dari segi pakaian) di tanah perkuburan Islam itu memang agak janggal. Tapi tiada kejanggalan dalam gerak geri mereka. Pasangan tersebut sibuk membersihkan pusara yang memang dalam jagaan yang baik. Lelaki tua itu kelihatannya mengusap usap batu nesan. Kawasan pusara itu mungkin telah ada semenjak 15 tahun yang lalu dan ada pusara yang telah pun terabai. Tetapi tidak yang ini, kemas dan bersih. Melihatkan riak wajah dan kesungguhan pasangan tua tadi, pastinya mereka selalu mengunjungi pusara tersebut. Mata melirik pantas pada nama, tarikh lahir dan tarikh kamatian 'penghuni' pusara tersebut.  XXXXX Abdullah. Telahan hati saya, 'penghuni' pusara tersebut adalah anak mereka. Telah pergi meninggalkan agama keturunan mereka, lalu menemui ajal ketetapan Allah di usia yang muda. Kasih sayang ibu dan ayah yang abadi, walau tiada lagi di dunia. Al-Fatihah.


Sekian. Wassalam.

July 18, 2015

Ketupat

Assalamualaikum..

Selamat hari raya.
Banyak makan ketupat?
Bagi sesetengah orang, kalau tak ada ketupat, macam tak berseri hari raya..betul ke?.

Kebetulan tahun ini balik kampung agak awal, jadi sempat juga buat ketupat sendiri sambil-sambil mengajar anak cara menganyam ketupat.
Sebab skill mama dia orang pun dah makin kelam dan pudar, harus juga diperturunkan kepada anak-anak.

Ketupat separuh siap
Teringat masa belajar menganyam ketupat dulu. Kisah bermula bila 'membuat ketupat' dijadikan salah satu pelajaran dalam pendidikan seni. Cikgu kata, kalau tak boleh buat ketupat sampai jadi, tak boleh dapat 'A' untuk mata pelajaran tersebut. Aduhai...

Malam tu, bukan main gigih lagi practise membuat ketupat, sampai hampir tak tidur malam..takut-takut tak dapat 'A' untuk pelajaran pendidikan seni.. :(
Alhamdulillah..akhirnya berjaya juga. Tapi hanya 2 jenis saja, iaitu ketupat bawang dan ketupat sate.

Dulu-dulu, rasa geram juga dengan cikgu sebab paksa anak murid belajar buat ketupat. Tapi bila dah dewasa macam ni (baca : tua), rasa berterima kasih sangat pada cikgu tu. Kalau tak kerana paksaan cikgu tersebut, mungkin semangat saya untuk belajar buat ketupat langsung tak ada...huhu

Ok..sekian sahaja untuk kali ini.
Hanya sebagai catatan kenangan dan moga menjadi inspirasi kepada anak-anak saya untuk terus berusaha belajar buat ketupat sampai jadi.
So, tahun depan, sehari sebelum raya,
mama boleh duduk relax sambil kilat kan kuku atau pergi ke salon set rambut....hahaha :D

Sekian. Wassalam.


July 16, 2015

Salam Aidilfitri 1436H


Bila takbir mula bergema
Tanda tibanya hari kemenangan
Syukur kepada yang Maha Esa
Menyambut Syawal dengan kemeriahan

Dari jauh maaf ku pinta
Atas kekhilafan tanpa sengaja
Tersilap kata, terkasar bahasa
Bimbang ada hati yang terasa

Sengketa lalu diingat jangan
Biarlah di buka lembaran baru
Di bulan indah penuh kemuliaan
Moga silaturahim erat berpadu

Hidup di dunia hanyalah sementara
Mengharap rahmat dari Pencipta
Memohon ihsan amalan diterima
Moga hidup bahagia selamanya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
TAQOBBAL ALLAHU MINNA WA MINKUM

Sekian. Wassalam
Gambar : Senja di Bandar Tasik Selatan

p/s : maaf, tidak dapat bw untuk seketika ini atas sebab masa & efek double kalau mengomen di blog kawan2...




July 15, 2015

Bersabarlah Sayang


Semua insan sedang gembira
Di hari ini sayang
Hari yang mulia marilah bersama
Berhari raya
Hilangkan duka

Lupakan saja kisah yang lalu
Gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kau kesalkan
Jangan engkau tangiskan

Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh diri mu
Di jurang kesalahan saja
Ku tak sampai hati
Biarkan engkau begini

Tetapi diriku dan juga teman mu
Yang tahu kisah derita
Dan luka di dada
Hanya ku harapkan
Kau harus bersabar
Dan bertenang selalu

Lagu asal dinyanyikan oleh Sanisah Huri.
Lagu ini kemudiannya dinyanyikan semula oleh Anuar Zain...
Menjadi lagu raya favorite saya mungkin kerana efek suara Anuar Zain di sitew.... :)

Enjoy ^-^


Pic : Google

July 14, 2015

Kulit Pisang

Kulit Pisang....
Daripada dibuang dan membazir, boleh juga dibuat snek atau makanan ringan


Cara menggoreng kulit pisang.

Bahan-bahan:
  • Kulit pisang jenis apa sahaja (disarankan pisang yang telah cukup masak dan berwarna kuning untuk menambah aroma dan rasa)
  • Air kapur
  • Limau nipis
  • Tepung beras 150gm
  • Tepung sagu 50gm
  • Telur puyuh
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:
  • Gaul rata kesemua bahan-bahan (kecuali kulit pisang)
  • Celupkan kulit pisang satu persatu ke dalam adunan
  • Goreng kulit pisang sehingga garing

Cadangan untuk sajian:
  • Setelah kulit pisang cukup masak dan garing, sila buangkan sahaja kerana tak sedap untuk dimakan.

Nota : Monyet pun tak suka kulit pisang, tak kan kita nak makan juga? Lagipun, buat apa kulit pisang digoreng?...tak ada keja lain ke?....hahahaha :D

Terima kasih kerana tekun membaca.
Jangan marah.

Sekian. Wassalam.

Sumber: whatsapp
Gambar: Google

July 12, 2015

Cucur Badak

Assalamualaikum...

Cucur udang nampak udangnya...
Kalau cucur badak, di manakah badaknya?? hihi

Akhirnya berjaya juga menyahut cabaran rakan di office untuk membuat kuih cucur badak. Dah lama berangan nak buat, tapi, tak terbuat buat.
Memang suka kuih ni. Rasanya sedap. Tapi (bagi saya lah) macam remeh juga kalau nak buat.
Lagi pun, kat tempat saya yang konon-konon 'urban' ni, susah nak cari keledek... hahaha..urban la sangat Mak Jemah ooiiiii :D


Cari punya cari, jumpa juga keledek kuning/oren kat Pasaraya Sogo.
Sebab tak biasa sangat dengan kuih ni, saya google resipinya di beberapa blog sebagai rujukan.

Setakat ni, resipi yang paling best adalah dari sahabat blogger, Kak Fiza lgk (sila rujuk sini untuk mendapatkan resipi)

Part nak buat inti kelapa tu ok lagi.
Part nak buat kulit luar?? eeerrrmmm
Memanglah orang kata, untuk kulit luar tu, kalau campur lebih banyak keledek lagi sedap (nisbah 85% keledek, 15% tepung gandum). Tapi nak membentuk campuran keledek + tepung yang tersangatlah lembut tu...alahai

So, teknik yang disarankan oleh Kak Fiza dalam resipinya, memang sangat membantu.
Walaupun saya masih perlu perkemaskan lagi bentuk rupanya, bolehlah untuk di buat juadah berbuka puasa. Dan mungkin sebagai hidangan minum petang pulak di masa masa hadapan.

Ok. Itu saja cerita pasal cucur badak saya.
Saja nak tepek kat sini, buat kenangan..'Ketuk-ketuk Ramadhan'.. :) :)

Sekian. Wassalam.


July 11, 2015

Duit Raya


Budaya memberi duit raya terutamanya kepada kanak-kanak memang telah lama ada.
Inilah waktu terbaik bagi kanak-kanak untuk 'mengumpul' duit lebih. Dan ini juga waktu yang baik bagi golongan yang berkemampuan untuk 'memberi' dan menggembirakan kanak-kanak.

Teringat zaman saya kecik-kecik dulu. Sanggup berjalan kaki keliling kampung dengan sekumpulan rakan untuk beraya dari rumah ke rumah. Ketika itu, umur baru sekitar 8 ke 10 tahun. Pastinya niat beraya bukanlah untuk berziarah atau makan kuih sangat. Hanya sekadar untuk mengumpul duit raya...huhu. Kenangan......

Bagi golongan yang berkemampuan, pastinya juga sedang sibuk untuk menyediakan duit raya dan menggumpulkan sampul 'ang paw'. Walaupun ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa memberi duit raya hanya menjuruskan kanak-kanak menjadi 'meterialistik', tapi pada saya, pendapat ini bukanlah 100% benar. Tak salah rasanya 'memberi' dengan niat untuk bersedekah, menggembirakan kanak-kanak dan memeriahkan suasana hari raya.

Namun dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan segala kos perbelanjaan kian meningkat, masih adakah budaya memberi duit raya pada tahun ini?
Usahkan mahu memberi duit raya, nak balik kampung pun ada pendapat bijak pandai yang kata tidak perlu...bijak kah...eeerrrmmmmm???
Itu belum lagi cerita tentang harga barang-barang  (selepas GST...). Harga kuih raya, baju raya, tudung raya, kasut raya pastinya kian bertambah... :(
Susah nak komen tentang hal ni. SENSITIF katanya.

Semoga kita dapat mengawal perbelanjaan kita dengan bijaksana.
Semoga kita juga sentiasa dimurahkan rezeki untuk terus tergolong dalam golongan 'pemberi' dan dipermudahkan segala urusan. Aamiin.

Sekian. Wassalam

Gambar : whatsapp








July 10, 2015

From A Distance



From a distance the world looks blue and green,
And the snow-capped mountains white
From a distance the ocean meets the stream
And the eagle takes to flight

From a distance, there is harmony,
And it echoes through the land.
It's the voice of hope, it's the voice of peace
It's the voice of every man

From a distance we all have enough,
And no one is in need
And there are no guns, no bombs and no disease,
No hungry mouth to feed.

From a distance we are instruments,
Marching in a common band
Playing songs of hope, playing song of peace
They're the song of every man
God is watching us, God is watching us
God is watching us from the distance

From a distance you look like my friend
Even though we are at war
From a distance I just cannot comprehend
What all this fighting is for

From a distance there is harmony
And it echoes through the land
And it's the hope of hopes, it's the love of love
It's the heart of every man

It's the hope of hopes, it's the love of loves
This is the song of every man
And god is watching us, God is watching us
God is watching us from the distance.

-Bette Midler

p/s : one of my favorite song :)

About the picture : Raining time @ commuter station

July 08, 2015

July 07, 2015

Jangan Lepaskan : Wanita Haid & Amalan di Penghujung Ramadhan

Assalamualaikum


Allah itu Maha Adil.
Demi 'menghidupkan' 10 malam terakhir di bulan Ramadhan yang mulia ini, perempuan yang sedang haid masih boleh melakukan apa juga bentuk ibadah kecuali perkara-perkara yang dilarang seperti  solat, puasa, tawaf (di kaabah) serta i'tikaf di masjid.

Antara ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita yang sedang haid.
  • Redha dengan ketentuan Allah. Sifat redha akan membolehkan seseorang itu berasa tenang dan bersabar dengan ketentuan Penciptanya.
  • Berzikir dan bertasbih. Contohnya ucapan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya.
  • Beristigfar dan memohon keampunan dari Allah, maka perbanyakkanlah bacaan 'astagfirullah'
  • Perbanyakanlah doa. Mintalah apa sahaja untuk kebaikan dunia dan akhirat. "Doa adalah ibadah' (H.R Tirmizi, 2895)
  • Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
  • Membaca terjemahan Al Quran.
  • Menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk ahli keluarga. In shaa Allah, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa akan turut mendapat pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa.
  • Bersedekah dan membantu orang yang sedang kesusahan.
  • Menghadiri majlis ilmu dan berkongsi ilmu yang bermafaat.

Oleh itu jangan lepaskan peluang untuk terus beribadah di bulan yang mulia ini.
Semoga kita terus diberikan kekuatan, keikhlasan dan semangat untuk terus beribadah. Aamiin

Sekian. Wassalam

Gambar : Google
Sumber: Pelbagai

July 06, 2015

Doa Malam Lailatul-qadar


"Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan menyintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku"

Dari Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau bertanya kepada Nabi SAW ertinya:
Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam yang merupakan malam Lailatul-qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?
Baginda menjawab "Ucapkanlah Allahumma Innaka 'Afuwwun Tuhibbul 'Afwa Fa'fu 'Annii"
(H.R Ahmad 25384, At-Turmudzi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-Yaum wa lailah dan Al-Baihaqi dalam Syua'bul Iman 3426. Hadis ini dinilai sahih oleh Al-Albani)

Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk memohon keampunan dari Allah.


Baca juga :


Sekian. Wassalam.

Gambar: Google



Nur Khadijah Umaira

Assalamualaikum

Ini adalah ahli keluarga baru kami, Nur Khadijah Umaira (Dija)
Dija adalah anak ke-2 adik bungsu saya dan merupakan cucu ke 9 abah dan arwah mak.
Mak Ngah (panggilan untuk saya) tak sabar nak jumpa Dija balik raya nanti. Dah la Mak Ngah tak ada anak perempuan, memang geram betul kalau tengok baby girl pakai baju bunga pink macam ni.
Esok besar jadi 'geng shopping dapur' Mak Ngah ya... :)


Moga Dija dipanjangkan umur dan menjadi anak yang solehah...Aamiin

Sekian. Wassalam.



July 05, 2015

Surah Al Qadr


  1. Sesungguhnya kami telah menurunkan Al Quran pada malam kemuliaan
  2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
  3. Malam kemuliaan (Lailatul-Qadar) itu lebih baik dari seribu bulan
  4. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengn izin Allah untuk mengatur segala urusan
  5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.
Penjelasan Tentang Surah Al Qadr
Surah Al-Qadr (bererti kemuliaan) adalah surah yang ke 97 di dalam Al-Quran dan mengandungi 5 ayat. Surah ini tergolong dalam surah-surah Makkiyah. Secara umum, surah ini menceritkan tentang satu malam yang penuh kemuliaan di bulan Ramadhan. Pada malam itu semua nilai ibadah dilipat gandakan seperti mengerjakan ibadah selama 1000 bulan.

Beribadah Untuk Seribu Bulan
Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita kepada para sahabat tentang Syam'um, seorang lelaki di zaman Bani Israel yang berjihad di jalan Allah dan mengerjakan solat malam selama 1000 bulan. Setelah mendengar cerita tersebut, para sahabat berasa iri hati terhadap Syam'un. Mereka menyatakan bahawa usia mereka tidak mungkin menyamai usia pemuda Bani Israel itu, apa lagi untuk menandingi amalan serta kedudukannya disisi Allah.

Rasulullah SAW kemudiannya menyampaikan kepada mereka bahawa Allah telah memuliakan umat Nabi Muhammad SAW dengan satu malam di bulan Ramadhan yang dinamakan Lailatul-Qadr. Pada malam yang penuh kemuliaan itu, segala ibadah dilipat gandakan ganjarannya menyamai ibadah selama 1000 bulan.

Marilah kita tingkatkan ibadah di malam-malam terakhir bulan Ramadhan ini. Moga dapat menambah 'saham' kita di akhirat kelak. In shaa Allah.

Sekian. Wassalam.

Rujukan: Al Quran Pertamaku - Juzuk Amma (Ustaz Hj Asril Ibrahim)
Gambar : Google (edited)

July 04, 2015

Doa Seorang Hamba



Berdoa adalah perkara yang amat penting bagi seorang muslim. Berdoa membawa erti memohon atau meminta sesuatu yang daripada Allah dengan adab yang baik sesuai dengan ketentun syarak.
Doa adalah senjata mukmin. Melalui doa keampunan dan rahmat akan diperolehi dan melalui doa juga musibah dan kesusahan akan terhindar.

Antara adab-adab berdoa:
  • Keadaan bersih diri, sebik-baiknya berwuduk, bersih pakaian dan tempat serta menutup aurat.
  • Dalam keadaan khusyuk dan merendah diri kepada Allah serta mengadap kiblat.
  • Merendahkan suara dan tidak mengganggu orang lain.
  • Yakin doa yang dipohon akan dikabulkan Allah.
  • Memulakan dengan memuji Allah dan selawat ke atas Nabi SAW dan mengakhirinya dengan pujian terhadap Allah dan selawat.
  • Beristighfar (bertaubat) sebelum berdoa.
  • Megulang ulang ungkapan doa yang penting di tempat-tempat tertentu.
  • Memahami isi dan maksud doa yang dilafazkan.
  • Doa hendaklah dilakukan dengan bersungguh sungguh serta yakin akan terkabulnya doa tersebut.
  • Tidak berputus asa dengan segala doa yang telah kita pohonkan walau sejak sekian lamanya kita berdoa.

Ibrahim bin Adham (wali Allah) apabila ditanya tentang sebab-sebab mengapa doa ditolak, dia berkata "Doa ditolak kerana beberapa sebab iaitu":
  • Kita mengenal Allah tetapi segala hak yang diamanahkan kepada kita tidak dilaksanakan.
  • Sunah Rasulullah SAW diremehkan walau kita menyintainya.
  • Al Quran dibaca siang dan malam tetapi kita tidak beramal dengannya.
  • Tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.
  • Syaitan dijadikan sahabat walaupun lidah mengatakan ia adalah musuh.
  • Kita tidak beramal dengan bersungguh-sungguh walau kita tahu syurga itu benar.
  • Maksiat kita lakukan berleluasa walaupun kita tahu neraka itu adalah balasan untuk orang-orang yang melakukannya.
  • Tidak menyediakan bekalan hari akhirat walaupun kita tahu mati itu benar.
  • Sentiasa mencari kesalahan dan keaiban orang lain tetapi tidak memerhatikan keaiban diri sendiri.
  • Tidak mengambil iktibar dan pengajaran setelah menguburkan orang mati.

Moga kita menjadi orang yang sentiasa merendah diri dan memohon doa kepada Allah demi kebikan dunia dan akhirat.

Sekian. Wassalam.

Rujukan utama: Indahnya Amalan Doa (Ustaz Ismail Kamus)


July 03, 2015

Iftar

Assalamualaikum..


Waktu senja selalu dikaitkan dengan suasana indah, nyaman dan romantis.
Namun senja di bulan Ramadhan membawa makna yang lebih istimewa kerana ketika inilah seluruh umat Islam sedang menanti waktu untuk berbuka puasa.

Sabagaimana yang disebutkan dari Abu Hurairah R.A
"Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika ia berbuka dan kebahagiaan ketika ia bertemu dengan Rabb-nya kerana puasa yang dilakukan" (H.R Bukhari dan Muslim)

Antara adab berbuka puasa yang dinyatakan dalam hadith:

  • Menyegerakan berbuka puasa apabila telah masuknya waktu atau disebut ta'jil al-iftar.
  • Mulakan berbuka puasa dengan tamar dan air.
  • Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. 
  • Berdoa ketika berbuka puasa. Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W " Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika ia berbuka". Jom ambil peluang in untuk terus berdoa. Semoga segala dosa kita diampunkan dan semua hajat kita tercapai. 
  • Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka puasa. Kata Anas R.A " Rasulullah S.A.W pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda : Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat' - Riwayat Abu Daud, Diya Al Maqdisi dalam Al-Ahdith Al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah juga untuk mereka yang menjamu kita berbuka puasa.
Sekian. Wassalam.
Selamat menunaikan ibadah puasa.

Rujukan utama: Adab berbuka puasa menurut sunah Rasulullah S.A.W (drmaza.com)
p/s : gambar diambil semasa perjalanan pulang ke rumah @ 15 Ramadhan 1436H.