June 29, 2016

June 28, 2016

Kisah Ramadhan : Bila Wanita Uzur Makan Di Khalayak Ramai

Assalamualaikum

Baru-baru ini heboh kisah tentang seorang wanita Islam yang sedang uzur makan dikhalayak ramai.


Kisahnya, wanita tersebut menjadi berang apabila haknya untuk makan dikhalayak ramai dinafikan. Soalnya, salahkah dia?

Secara umunnya memanglah wanita yang sedang uzur tidak diwajibkan berpuasa. Memang boleh makan. Makanlah sebanyak mana nak makan....sesudu, sepinggan, sebelanga atau semua makanan yang ada dalam kedai tu. Tapi perlukah makan di khalayak ramai?

Tidak adakah sedikit perasaan malu dan hormat pada orang yang sedang berpuasa?

Semenjak kecil lagi kita disuruh menghormati orang yang berpuasa. Malah, anak-anak kita diajar supaya berpuasa dan hormat pada orang yang sedang berpuasa. Tidak bolehkah kita memberi contoh yang baik pada mereka?

Saya juga ada ramai rakan yang bukan beragama Islam. Tapi mereka hormat pada orang yang sedang berpuasa. Mereka tidak akan makan di hadapan saya. Kalau terpaksa meneguk air sedikit pun, siap ada yang minta maaf lagi.

Kalau orang bukan Islam boleh faham dan hormat pada orang yang berpuasa, kenapa tidak kita?


Sekian. Wassalam.

Pic: google









June 27, 2016

Rezeki Yang Tertulis

Assalamualaikum

Alhamdulillah, dengan izin dari Nya, penyerahan dana kutipan untuk 42 orang pembantu am (baca: Cleaner) di pejabat telah pun disempurnakan pada petang Jumaat lalu.

Sampul ang pow sebelum diagihkan

Niat asal hanyalah untuk 4 orang Cleaner yang 'menjaga' Jabatan kami sahaja. Tapi, mungkin Allah mahukan dana ini sampai kepada lebih ramai orang.
Mungkin kerana itu jugalah jumlah kutipan yang kami dapat amat luar biasa hingga boleh diagaihkan kepada kesemua Cleaner yang lain. Alhamdulillah.

Meski pun terdapat juga rintangan dan halangan untuk kami mengumpulkan dana tersebut, akhirnya berjaya juga.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang berusaha keras mengumpul dana dan menjayakan mini projek ini, penyumbang-penyumbang yang jauh mahu pun yang dekat, juga yang berada di dalam mahu pun di luar negara.

Semoga Allah mengurniakan kebaikan dan rezeki yang berlipat ganda kepada anda semua. Untuk yang terlibat secara langsung atau tidak, Allah sahajalah yang akan membalasnya...

Mungkin sesuatu perkara itu nampak kecil di mata kita, namun amat besar nilainya pada yang lain.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi siapa yg dikehendakiNya di antara hama-hambaNya, dan Dia juga menyempitkan baginya; dan apa shaja yg kamu dermakan maka Allah akan mengantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki" .” (Surah Saba: 39). 

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Nabi bersabda, " Sesiapa yang bersedekah meski nilainya cuma sebiji tamar, yang diperolehinya dengan cara yang baik- dan Allah hanya menerima yg baik- nescaya Allah akan menerimanya dengan baik, kemudian menjaganya seolah olah seperti kalian menjaga anak kuda, sehinggalah ia menjadi sebesar gunung" (Riwayat Al-Bukhari)

Sekian. Wassalam.



June 25, 2016

Biskut Choc Chip Emping Jagung


Assalamualaikum

Pagi ni Akak busy try resipi baru yang dikongsi oleh kawan sepejabat. Kak Shikin Merah namanya.
Resipinya ringkas dan mudah, sebab tu Akak nak cuba. Kalau kuih yang susah-susah tu, Akak main tunjuk-tunjuk aje kat kedai :)

Bahan-bahan:
  • 150 gm butter
  • 150 gm tepung
  • 75 gm gula castor
  • 60 gm corn flakes
  • 50 gm choc chips
  • Sedikit esen vanila (saya letak 1 sudu kecil)
  • Almond nibs/flakes sesedap rasa (saya letak dalam 70 gm)


Cara-cara:
  • Campurkan gula dan butter. Kacau rata sampai ringan. Masukkan esen vanila.
  • Ayak tepung, masukkan ke dalam bahan. Gaul rata.
  • Masukkan corn flakes, choc chip dan almond nibs/flakes. Gaul rata.
  • Bentukkan kecil-kecil dan susun di dalam dulang pembakar.
  • Bakar dalam suhu 170°c selama 15 ke 20 minit.
  • Sejukkan dan susun di dalam balang.
  • Sedia untuk di bawa ke rumah mertua sebagai buah tangan balik raya :)

Sekian. Selamat mencuba.


June 23, 2016

All About Potatoes

Assalamualaikum

Tengah hari tadi saya ke pasaraya Aeon Quill CityMall, mencari barang keperluan untuk memasak juadah berbuka puasa. Bila tengok-tengok, ada banyak pulak jenis ubi dan kentang. Macam best jugak kalau diambik gambar. Tapi tak berani nak beriya sangat...takut orang ingat Mak ni Pegawai dari KPDNKK datang nak check harga barang...hahaha :D

Apa pun, jom kita tengok jenis-jenis kentang dan ubi.

Ni namanya ubi Jepun.
Ubi/keledek Jepun ni kaler di purple. Nak rebus boleh, kalau bakar pun sedap.


Sweet potatoes atau keledek
Keledek ni biasanya orang guna untuk buat kuih contohnya keria, cucur badak dan yang sewaktu dengannya. Keledek ni juga adalah bahan penting untuk orang Johor buat kuah mee rebus. Kalau goreng pun sodapppp


Kentang pink

Jarang nampak kentang pink ni. Kena import dari Australia sebab tanam kat tepi paya belakang rumah tak nak hidup :D


Cilembu honey sweet potatoes
Tak pernah makan lagi ubi/keledek spesis ni. Di import dari negara seberang dan saya rasa harganya agak mahal.


Kentang holland. 
Biasa digunakan dalam masakan. Kalau nak buat karipap inti kentang atau begedil pun saya guna kentang ni.


Ubi kayu

Rasanya amat sedap kalau direbus dan dimakan dengan sambal...
Di musim-musim raya ni, peranan ubi kayu juga sangat penting untuk menghasilkan pelbagai jenis kerepek ubi. Macam-macam perisa ada.


Kentang US katanya
Digunakan dalam masakan. Bukan setakat isi, kulit pun berkhasiat :)



Ok. Tu aje mak nak cerita pasal ubi dan kentang...

Baca juga:
Bukan kentang biasa
Manis atau masin


Sekian. Wassalam.


June 21, 2016

Cabaran Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum

Alhamdulillah, sudah masuk pertengahan Ramadhan. Moga kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan sempurna dan segala amalan kita diterima.


Di bulan yang penuh berkat ini, pasti ada juga cabaran-cabaran yang harus di tempuhi dengan sabar, terutamanya bagi kaum ibu. Antaranya:
  • Pergi kerja lebih awal. Semua pergerakan harus pantas. Untuk saya sebenarnya ada dua pilihan sama ada bawa kereta atau naik komuter. Kalau bawa kereta, harus keluar seawal mungkin atau terpaksa berdepan dengan jalan raya yang penuh kesesakan walau telah pun membayar tol. Pilihan ke 2 adalah menaiki komuter. Walau naik komuter, harus juga keluar rumah awal atau tiada tempat untuk parking kereta di stesen komuter. Itu belum lagi masalah komuter terkandas di tengah jalan... :(
  • Menjemput anak di nurseri se-awal mungkin. Perkara pertama yang saya fikirkan sewaktu balik kerja adalah untuk mengambil anak di nurseri secepat yang boleh. Kesian juga kalau saya terlambat dan kawan-kawannya semua sudah balik. Selain itu,harus ada perasaan timbang rasa kepada guru dan pengasuhnya yang pastinya mahu balik awal kerana mereka juga ingin menyediakan juadah berbuka puasa.
  • Mengejutkan anak bersahur. Biasalah budak-budak. Especially kalau dia orang tidur lambat ...mesti 'liat' siket nak bangun sahur. Kenalah mak panggil dan pujuk untuk bangun. Bukan sekali, kadang-kadang tu berkali-kali. Tak bersahur nanti, takut lapar pulak. Lagi pun memang harus diajar amalan sunat yang dituntut ini.
  • Menyediakan menu terbaik untuk keluarga.  Time ni lah mak-mak nak tunjuk skill memasak..hihi. Macam-macam menu keluar, walaupun kadang kala terpaksa 'bersilat' di dapur kerena kekangan waktu...

Apa pun, semoga ianya tidak menjadikan kita lupa untuk menghayati hikmah di bulan yang mulia ini serta tidak menjadi halangan untuk kita merebut peluang beribadah.
Salam Ramadhan & Selamat Berpuasa.

Ganbar: google


June 16, 2016

Dodol dan Pressure Cooker

Assalamualaikum

Kalau dulu, nak masak dodol, pasti lebih 4 jam masa yang diambil untuk mengacau (biasanya buat time nak raya). Dah le tengah puasa, berdiri pulak depan api sambil mengacau. Bila dodol masak, orang pun terlepek...(tapi tangan sado lah...huhu)
Harapnya dengan menggunakan pressure cooker ni, kerja-kerja membuat dodol akan menjadi lebih mudah.



Sebenarnya dah lama saya teringin nak buat ekperimen memasak dodol dengan menggunakan pressure cooker. Alhamdulillah, tercapai juga hajat.

Oleh kerana bilangan ahli keluarga saya tidak ramai dan semuanya 'berperut kecil"...hihi...jadi saya buat dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Nama pun eksperimen kannn....
Resipi ini saya ambil di blog mamajue.com

Bahan-bahan:
  • 1 cawan tepung pulut
  • 1 cawan gula merah (saya rasa, kalau dapat gula kabung lagi bagus, sebab Mak Mertua saya guna gula kabung untuk buat dodol)
  • 1/2 cawan gula pasir (saya gunakan 2 sudu sahaja, sebab dah manis...buahaha)
  • 1 cawan santan (saya guna 1 kotak santan segera, tambahkan sedikit air untuk dapatkan 1 cawan santan)
  • 1 sudu tepung beras
  • 1 sudu tepung ubi (ni saya saja campur walau tak ada dalam resipi sebenar, saja nak tengok apa jadi. Lain kali Mak nak tambah durian pulak....ngeee)
  • Sedikit garam
  • 2 helai daun pandan


Cara-cara:
  • Masukkan kesemua bahan kecuali daun pandan ke dalam blender. Kisar sampai halus.
  • Tapis bahan yang telah dikisar
  • Tuang kesemua bahan ke dalam periuk (tutup periuk)
  • Tekan function 'stim'. Biarkan dalam 3 ke 4 minit.
  • Buka periuk dan terus kacau....perlukan stamina untuk kacau laju-laju supaya hasilnya tidak berketul-ketul. Masaknya juga sangat cepat ( #kecepatan ). Kalau ikut masa yang saya ambil tadi, lebih kurang 15 ke 20 minit.
  • Bila dodol sudah likat dan pejal (kira macam rupa dodol yang korang selalu jumpa...), boleh lah dimasukkan ke dalam bekas.
  • Biarkan sejuk... (tak boleh makan masa panas-panas, sebab Mak pose...haha)

Nota: ini percubaan kali pertama, nanti lepas di rasa dan melalui 'QA' punya proses, bolehlah diperbaiki mana yang kurang.

Sekian. Selamat mencuba

Wassalam.






June 13, 2016

Tren Komuter Rosak Di Bandar Tasik Selatan


Assalamualaikum

Kejadian hari ini, 13 Jun 2016, di stesen komuter Bandar Tasik Selatan. Sebuah tren komuter telah rosak dan mengganggu perjalanan tren yang lain.

Mungkin ini adalah antara salah satu hasil dari kenaikan harga tambang yang melebihi 40% semenjak 2 Disember 2015 lalu.

Tren ini dikatakan rosak ketika berada di stesen Serdang lagi tapi dengan gigihnya telah cuba meneruskan perjalanan ke stesen seterusnya (Stesen Bandar Tasik Selatan) dengan kelajuan 10km/jam.

Hasilnya?..mungkin ramai pengguna komuter lewat ke tempat kerja hari ini.
#kelewatan #cobaan #dugaanramadhan

Selebihnya...Mak tak nak cerita banyak. Biarlah gambar berbicara..



Sekian. Wassalam





June 10, 2016

Usaha


Assalamualaikum

"Sesiapa yang berusaha, dia berjaya"

Suatu pepatah yang seharusnya diingat sentiasa...Memang betul, sekiranya kita ingin meraih kejayaan, seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh.

Tidak kira dalam perkara apa sekali pun, contohnya jika kita ingin berjaya dalam peperiksaan, seharusnya kita belajar bersungguh-sungguh, sekiranya kita ingin berjaya dalam perniagaan, harus belajar segala teknik mengenainya disamping belajar dari pengalaman orang-orang yang telah berjaya. Begitu juga jika ingin menjaga kesihatan dan ingin menguruskan badan....hoho, harus juga berusaha menjaga pemakanan dan menjalani gaya hidup yang sihat :)

Bukankan ianya akan menjadi satu kepuasan sekiranya kita berjaya mencapai kejayaan setelah penat berusaha...Orang tempat Mak panggil 'achievement'.

Namun begitu, ada orang kata, kalau berusaha sekali pun, belum tentu berjaya. Tapi pada saya, sekurang-kurangnya kita telah mencuba dan berusaha, dan ianya lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.

Jangan dilihat pada peritnya 'usaha', tapi pandanglah pada manisnya sebuah 'kajayaan'


 Sekian. Wassalam.
Pic: google



June 08, 2016

Rumusan Fisiologi Puasa


Fasa 1 : Hari 1 - 2
Gula dalam badan menurun. Jantung berdegup perlahan. Glikogen ditarik keluar dari otot dan menjadikan otot berasa lemah. Tindak balas badan adalah seperti pening, rasa nak muntah, lapar dan mulut berbau.

Fasa 2 : Hari 3 - 7
Lemak mula dipecahkan bagi tujuan penghasilan tenaga. Berlakunya tindakan kimia dari gliceride ke glicerol ditukarkan kepada glukosa. Fasa ini juga berlakunya proses detoksifikasi, menyebabkan badan dan kulit rasa berminyak. Selain itu, organ detoks seperti paru-paru berasa kurang selesa. Pasa fasa ini juga aktiviti sel darah putih meningkat sekaligus meningkatkan sistem antibodi.

Fasa 3 : Hari 8 - 15
Proses detoksifikasi berlangsung dengan sel-sel mati dan rosak dikeluarkan. Proses penyembuhan lebih mudah berlaku, malah penyakit lama diperbaiki. Pada fasa ini juga tenaga dipertingkatkan dan fikiran menjadi lebih jelas.

Fasa 4: Hari 16 - 30
Badan mula selesa dengan puasa. Proses pemulihan masih berlaku, hasilnya pernafasan menjadi lebih baik dan kualiti darah meningkat.

Fasa 5 : 1 Syawal
Badan menjadi tidak tentu arah. Nafsu makan membuak-buak ketika terlihat ketupat, rendang, sayur lodeh, kuah kacang, lemang, opor ayam dan segala macam kuih. Lemak baru dikumpulkan dan ketika inilah berat badan ditambah kembali dengan cara yang paling ganas. Tekanan darah kembali naik terutamanya ketika akaun bank tiada berbaki....dan akhirnya pernafasan menjadi hampir tiada apabila duit gaji untuk bulan seterusnya lama lagi nak masuk :D


Sekian. Wassalam
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa


Sumber : WA
Pic: Google

June 05, 2016

Salam Ramadhan Al Mubarak 1437H


Assalamualaikum

Sebelum menjelang Ramadhan, saya ingin memohon maaf atas segala kesilapan, sama ada di sedari atau tidak, juga dari perbuatan, tutur kata, penulisan dan teguran yang mungkin mengguris perasaan.

Moga kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna dan penuh keinsafan.

Moga kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar...in shaa Allah

"Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu" -Riwayat Al Bukhari

"Tidurnya orang yang berpuasa tetap dalam ibadah, diamnya dianggap tasbih, amalnya dilipat gandakan, doanya mustajab dan dosanya diampunkan" - Riwayat Al Baihaqi


Sekian. Wassalam.

June 01, 2016

WW#9 Salad

Salad yang banyak unsur unsur karbohidrat

Salad terlajak #hijau with mushroom

Salad dalam botol. Pilihan salad untuk orang sakit gigi :)
Baru tau #coklat tu adalah #salad. Kalau macam ni, pilih coklat la nampaknya :)

Jom tanya kerbau. Kalau makan salad (baca: daun) hari-hari, agak-agak boleh kurus tak? : D


Yang penting kita memilih cara pemakanan yang seimbang dan sihat.

Sekian. Wassalam.

*pic: some from google