August 30, 2015

Kuning Bukan Kerana BERSIH



Entri ini tiada kaitan dengan perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan diadakan di Kuala Lumpur.

Saya hanya ingin kongsikan resipi ikan patin tempoyak yang selalu menjadi hidangan kalau balik kampung. Saja nak tepek resipi kat sini sebagai rujukan. Lagipun ni resipi warisan turun temurun :)

Bahan-bahan:

  • Seekor ikan patin (sederhana besar. Anggaran berat dalam 900gm - 1kg)
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 ke 4 sudu tempoyak
  • Segenggam daun kesum
  • 10 biji cili padi (boleh tambah kalau nak lagi pedas)
  • 1 asam keping
  • 4 cawan air
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:
  • Tumbuk cili padi dan kunyit hidup. Kemudian masukkan tempoyak dan gaul rata.
  • Masukkan air dan kesemua bahan yang digaul rata tadi ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana.
  • Masukkan ikan. Biar sampai menggelegak. Masukkan daun kesum.
  • Masukkan garam secukup rasa.
  • Tunggu hingga kuah pekat (mengikut cita rasa masing-masing)

Sekian. Selamat mencuba.



August 29, 2015

Tema Hari Kebangsaan (1970 - 2016)

Assalamualaikum

Ini bukanlah entri baru, cuma up date dari entri tahun lepas.
Untuk tahun 2016, tema hari kebangsaan dikekalkan, iaitu 'SEHATI, SEJIWA'..

31 Ogos 2015, Malaysia menyambut hari kemerdekaanya yang ke 58. Maknanya sudah 58 tahun Malaysia bebas dari belenggu penjajah yang bermula dari tahun 1511.


Kemerdekaan Malaysia bermula dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Pembentukan Malaysia (yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura) pula diisytiharkan pada 16 September 1963 dan di sambut sebagai Hari Malaysia.
Singapura akhirnya keluar dari Malaysia dan menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965.

Pada tahun 2009, kerajaan telah memutuskan bahawa bermula tahun 2010, Hari Malaysia 16 September disambut sebagai cuti umum persekutuan bersama-sama dengan Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

Tema-tema hari kebangsaan semenjak tahun 1970


  • 1970 (Hari Kemerdekaan 13) : Muhibah dan Perpaduan
  • 1971 (Hari Kemerdekaan 14) : Masyarakat Progresif
  • 1972 (Hari Kemerdekaan 15) : Masyarakat Adil
  • 1973 (Hari Kemerdekaan 16) : Masyarakat Berkebudayaan Malaysia
  • 1974 (Hari Kemerdekaan 17) : Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
  • 1975 (Hari Kemerdekaan 18) : Masyarakat Berdikari
  • 1976 (Hari Kemerdekaan 19) : Ketahanan Rakyat
  • 1977 (Hari Kemerdekaan 20) : Bersatu Maju
  • 1978 (Hari Kemerdekaan 21) : Kebudayaan Sendi Perpaduan
  • 1979 (Hari Kemerdekaan 22) : Bersatu Berdisplin
  • 1980 (Hari Kemerdekaan 23) : Berdisplin Berbakti
  • 1981 (Hari Kemerdekaan 24) : Berdisplin Berharmoni
  • 1982 (Hari Kemerdekaan 25) : Berdisplin Giat Maju
  • 1983 (Hari Kemerdekaan 26) : Bersama Ke Arah Kemajuan
  • 1984 (Hari Kemerdekaan 27) : Amanah Asas Kejayaan
  • 1985 (Hari Kemerdekaan 28) : Nasionalisme Teras Perpaduan
  • 1986 (Hari Kemerdekaan 29) : Bangsa Tegas Negara Teguh
  • 1987 (Hari Kemerdekaan 30) : Setia Bersatu, Berusaha Maju
  • 1988 (Hari Kemerdekaan 31) : Bersatu
  • 1989 (Hari Kemerdekaan 32) : Bersatu
  • 1990 (Hari Kemerdekaan 33) : Berjaya
  • 1991 (Hari Kemerdekaan 34) : Wawasan 2020
  • 1992 (Hari Kemerdekaan 35) : Wawasan Asas Kemajuan
  • 1993 (Hari Kemerdekaan 36) : Bersatu Menuju Wawasan
  • 1994 (Hari Kemerdekaan 37) : Nilai Murni Jayakan Wawasan
  • 1995 (Hari Kemerdekaan 38) : Jatidiri Peggerak Wawasan
  • 1996 (Hari Kemerdekaan 39) : Budaya Penentu Pencapaian
  • 1997 (Hari Kemerdekaan 40) : Akhlak Mulia, Masyarakat Jaya
  • 1998 (Hari Kemerdekaan 41) : Negara Kita, Tanggungjawab Kita
  • 1999 (Hari Kemerdekaan 42) : Bersatu Ke Alaf Baru
  • 2000 (Hari Kemerdekaan 43) : Kerana Mu Malaysia
  • 2001 (Hari Kemerdekaan 44) : Kerana Mu Malaysia
  • 2002 (Hari Kemerdekaan 45) : Kerana Mu Malaysia
  • 2003 (Hari Kemerdekaan 46) : Kerana Mu Malaysia
  • 2004 (Hari Kemerdekaan 47) : Kerana Mu Malaysia
  • 2005 (Hari Kemerdekaan 48) : Kerana Mu Malaysia
  • 2006 (Hari Kemerdekaan 49) : Kerana Mu Malaysia
  • 2007 (Hari Kemerdekaan 50) : Malaysiaku Gemilang
  • 2008 (Hari Kemerdekaan 51) : Perpaduan Teras Kejayaan
  • 2009 (Hari Kemerdekaan 52) : 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Di Utamakan
  • 2010 (Hari Kemerdekaan 53) : 1 Malaysia, Menjana Transormasi
  • 2011 (Hari Kemerdekaan 54) : 1 Malaysia, Transormasi Berjaya, Rakyat Sejahtera
  • 2012 (Hari Kemerdekaan 55) : Janji Di Tepati
  • 2013 (Hari Kemerdekaan 56) : Malaysiaku Derdaulat, Tanah Tumpah Darahku
  • 2014 (Hari Kemerdekaan 57) : Malaysia...Di sini Lahirnya Sebuah Cinta
  • 2015 (Hari Kemerdekaan 58) : Sehati, Sejiwa
  • 2016 (Hari Kemerdekaan 59) : Sehati, Sejiwa



  • Sekian. Wassalam

    Rujukan: ms.wikipedia.org

    August 28, 2015

    Dinner

    Assalamualaikum


    Di sebabkan anak saya teringin nak makan nasi arab kabsah (kambing), maka...dinner malam ni kat sebuah restoran nasi arab di Kajang.

    Dan di sebabkan Mama dia kononnya berdiet (hahaha...diet lah sangat) dan tak mahu makan nasi, jadi pilihlah hummus dan roti sebagai hidangan. Kira menu sihat la tu.... :)

    Hummus ni sebenarnya adalah campuran kacang kuda (yang telah di blend halus), bawang putih, jus lemon, tahini (sejenis bahan dari bijan) dan juga sedikit garam.
    ***Sedikit info tentang kacang kuda (chickpeas) - Ia merupakan sumber terbaik untuk fiber, folat, karbohidrat, protein dan zink. Kacang ni juga rendah lemak... :)

    Untuk efek lebih sihat, tambahkan juga minyak zaitun dalam hidangan (seperti gambar)


    Minyak zaitun pula, memang tidak dinafikan kebaikannya. Antara khasiat minyak zaitun (olive oil) adalah mencagah penyakit jantung dan stroke, membunuh sel kenser, mengurangkan dan memulihkan radang sendi dan pastinya ada banyak lagi kebaikan.



    Dan untuk triple impact sihat, jangan lupa minum green tea....hohoho

    Anda pulak, makan apa malam ni? :)

    Sekian. Wassalam




    August 25, 2015

    Menjelang Peperiksaan UPSR

    Assalamualaikum



    Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk pelajar darjah 6,  hanya tinggal beberapa hari saja lagi.
    Kalau bercakap tentang peperiksaan, kadang-kadang tu, mama dia yang stress lebih-lebih. Cuma sedaya upaya saya tidak mahu menunjukkan emosi tu depan anak :(

    Saya tahu dan anak saya juga tahu yang dia membawa harapan ibu bapanya, guru-gurunya dan sekolahnya. Dan saya juga pasti yang dia sudah berusaha untuk belajar sedaya upaya dan semampunya. Hanya di saat-saat akhir ini, tumpuan harus diberikan pada latih-tubi untuk semua subjek, mengawal emosi supaya tidak 'pressure' dan berdoa sebanyak mungkin.

    Saya pernah terbaca tentang tip-tips menjelang peperiksaan tulisan Dr Tengku Asmadi, seorang perunding motivasi terkenal. Berikut adalah tips-tips yang dikongsi, (saya telah ringkaskan) yang saya rasa amat berguna untuk saya serta ibu bapa yang lain:

    • Cubalah memahami tekanan yang dihadapi oleh anak. Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, anak kita pastinya tahu bahawa mereka membawa harapan keluarga. Cuma jangan biarkan hingga mereka rasa tertekan di saat-saat akhir ini. Katakan pada mereka bahawa apa yang kita harapkan dari mereka adalah melakukan apa yang terbaik mengikut kemampuan mereka. Berusaha dan berdoalah selagi boleh. Rezeki kita Allah yang Maha Menentukan
    • Tingkatkan keyakinan diri anak. Keyakinan datangnya dari persediaan. Semakin banyak persediaan dibuat, in shaa Allah, mereka semakin yakin untuk menghadapi peperiksaan. Buatlah latihan selagi mampu.
    • Memberikan semangat kepada anak dengan kata-kata positif. Sebutlah "Mama yakin, Abang'Kakak/Adik pasti boleh" dan bukannya "Jangan putus asa". Atau, "Bertenang dan berhati-hatilah bila menjawab pepriksaan" dan bukannya "Jangan gopoh atau jawab tergesa-gesa"
    • Kerjasama sepenuhnya. Hormati waktu ulangkaji anak. Mungkin ahli keluarga boleh sama-sama membaca bahan-bahan yang berfaedah daripada bersembang-sembang kosong, menonton tv atau bermain game. Dengan ini anak akan rasa 'perjuangan' mereka dihargai.
    • Kurangkan aktiviti luar. Mungkin dalam masa terdekat ini boleh ubah sedikit jadual kebiasaan daripada keluar membeli belah dan menonton wayang kepada duduk saja di rumah dan manafaakan masa untuk mengulang kaji pelajaran.
    • Elakkan anak dari tidur lewat. Jangan biarkan anak tidur lewat. Galakkan mereka untuk membuat ulangkaji pelajaran di awal pagi. Di waktu ini suasananya lebih tenang dan nyaman.
    • Berikan anak pelepasan tugas harian. Berikan mereka 'pelepasan' dari rutin harian seperti mengemas bilik, menjaga adik dan sebagainya. Dengan cara ini, pastinya anak kita merasakan bahawa seluruh ahli keluarga mahukan dia cemerlang.
    • Nyatakan ganjaran dengan jelas. Beritahu anak tentang ganjaran yang akan diberikan jika mereka berjaya dengan cemerlang. Moga-moga ini akan membakar semangat mereka untuk terus berusaha.
    • Ambil cuti. Inilah masanya untuk kita memberikan sepenuh tumpuan pada anak. Usahakan untuk menghantar dan mengambil sendiri anak di sekolah terutamanya di hari peperiksaan. Ingatkan kepada anak, ini adalah usaha kita dan apa pun keputusannya nanti, kita harus terima dengan rasa bersyukur.
    • Banyakkan berdoa dan bersolat hajat. Tidak ada yang lebih penting bagi seseorang anak yang mengambil peperiksaan selain dari doa dan restu dari kedua ibu bapanya. Inilah masanya untuk terus berdoa dan moga segala urusan anak-anak kita menjawab soalan peperiksaan akan dipermudahkan.
    Semoga anak-anak kita yang mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini kan diberikan keputusan cemerlang. In shaa Allah...Aamiin.

    Doa penerang hati:



    Rujukan utama : Artikel,10 peranan ibubapa menjelang peperiksaan (www. tengkuasmadi.com)
    Gambar: Google


    August 24, 2015

    Kenapa Perempuan Suka Warna Pink?

    Assalamualaikum



    Kenapa perempuan suka WARNA PINK?
    Cuba akak-akak, adik manis, mak cik-mak cik sekelian tengok almari pakaian masing-masing.
    Kalau tak banyak, mesti ada sekurang-kurangnya sehelai baju warna pink. Kalau bukan baju, mungkin tudung, selendang, kasut/sepatu atau handbag warna pink.

    Warna pink memang sangat sinonim dengan perempuan. Cuba perhatikan. Semenjak baru lahir lagi, kalau baby girl, mesti baju, tuala, sarung bantal, selimut dan aksesorinya (kebanyakannya lah) warna pink.

    Pink atau warna merah jambu melambangkan kelembutan, sifat feminin, romantis dan mungkin juga hati yang berbunga-bunga.

    Pernah juga terbaca satu kajian dari Dr Anya Hulbert dari University of Newcastle yang menyatakan bahawa secara semula jadi, seseorang perempuan akan memilih warna-warna yang hampir kepada warna merah. Boleh jadi kerana peranan kaum perempuan sejak dahulu adalah untuk memilih bahan makanan untuk keluarga dan selalunya akan memilih bahan atau buah-buahan yang sudah masak (dilambangkan sebagai warna kemerahan).

    Tapi awas, warna pink ni ada banyak juga jenis dan adik beradiknya. Tak percaya? Cuba tengok...


    Pesanan untuk abang-abang dan pak cik-pak cik. Kalaulah si dia nak hadiah warna pink, kena tanya betul-betul. Nak pink yang macam mana. Jangan pakai hentam kromo aje. Tersalah beli kalu...rugi ooo

    Saya pulak, layan juga warna pink ni. Kalau tak nanti...orang kata bersifat 'kejantanan' pulak...hahaha :D

    Tapi kalau ditanya warna kegemaran, saya lebih suka warna purple dan hijau.



    Anda pulak bagaimana. Suka tak WARNA PINK?.......

    Gambar: Google




    August 23, 2015

    Tasik Cempaka Bangi


    Tasik Cempaka adalah sebuah taman tasik yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Tempat ini memang menjadi pilihan kebanyakan warga Bangi untuk beriadah dan ada juga yang ber-picnic di hujung minggu.

    Lihat saja suasana serta airnya yang tenang jangan disangka tak ada buaya,  dan pokok-pokoknya yang menghijau. Memang ok juga untuk menjadi tempat berehat dan menenangkan fikiran. Boleh juga menjadi tempat untuk berjogging. Lebih-lebih lagi setelah makan tanpa henti sepanjang bulan Syawal, eeemmmmm....elok sangat lah tu. Kasi hilang siket lemak-lemak yang telah berjaya diternak dalam badan...hoho


    Saya tadi sempat berjogging sambil membuat 2 ++ pusingan (lebih kurang 2km perjalanan). Tapi, sebenarnya banyak berjalan dari berjogging..huhu. Kira okey lah tu kan, dari duduk saje.
    Nak buat lebih-lebih nanti, takut banyak pulak masalah lain. Sakit kaki, sakit tangan, sakit sendi bagai...maklum lah, orang tua..hahaha :D

    Selepas berjogging, boleh singgah di kawasan 'car boot sales' yang juga terletak di sekitar kawasan tasik. Sempat jugak lah nak cuci-cuci mata tengok barang jualan, antaranya baju, buku dan barang permainan kanak-kanak.
    Tapi, saya rasalah.....tak banyak sangat pilihan. Suasana pun agak sepi. Mungkin pihak admin di sana boleh 'improve' kan lagi keadaan supaya kegiatan ekonomi di situ menjadi lebih meriah.

    Dan saya, tak adalah nak pergi membeli, sebab orang pergi jogging mana bawak duit, kannnnn... :)



    Sekian, Wassalam.




    August 21, 2015

    Jiwa Yang Merdeka

    Assalamualaikum

    Jiwa yang merdeka bermaksud jiwa yang bebas.
    Bebas seperti burung yang terbang kah?
    Atau bebas bertaburan seperti bintang dilangit?
    Hohoho...tak tau pulak saya...:)



    Pada pendapat saya, memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati, jiwa dan minda serta dapat menjalani kehidupan yang bahagia bersama insan-insan tersayang.
    Seseorang yang mempunyai jiwa yang merdeka juga mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja serta bebas untuk menyuarakan pendapat serta idea-idea tanpa ada halangan.

    Seseorang yang mempunyai jiwa yang merdeka seharusnya boleh  memimpin dirinya, memimpin keluarganya, memimpin masyarakat serta bangsanya.

    Tapi, harus juga diingat, walau bagaimana bebas atau merdeka sekalipun, kehidupan kita masih dibatasi oleh kewajipan terhadap Maha Pencipta, hak sesama manusia serta peraturan-peraturan tertentu yang dibina demi menjaga keamanan supaya setiap orang tidak boleh bertindak sesuka hatinya mengikut 'hukum rimba'.

    Bagaimana pula maksud 'jiwa yang merdeka' bagi anda?

    Sekian. Wassalam.

    Gambar: google



    August 18, 2015

    Erti Merdeka (Dari Perspektif Kewangan)

    Assalamualaikum

    Merdeka bermaksud bebas dari penjajahan. Tapi, bagaimana pula dengan merdeka dari segi kewangan atau financial independence?
    Sebenarnya ia membawa pelbagai maksud yang mungkin juga berbeza bagi setiap individu.


    • Tidak Bimbang Tentang Kekurangan Wang. Kalau orang di kampug saya orang menyebutnya sebagai "money is not my problem"... :) Jadi, orang yang merdeka dari sudut kewangan tidak perlu bimbang jika ingin berbelanja sebanyak mana yang dia perlu dan mahu.
    • Hidup Bebas Hutang. Sesetengah orang berkeja untuk membayar hutang. Untuk membeli sesuatu juga harus berhutang. Sedihkan.....Jadi, orang yang merdeka dari sudut kewangan, hidupnya tenang dan tidak dibelenggu hutang. Malahan semuanya boleh dibeli secara tunai dengan rasa senang hati.
    • Mampu Untuk Bersara Awal. Adalah menjadi impian kebanyakan orang untuk bersara atau pencen awal dan setelah itu boleh duduk goyang kaki bersenang lenang. Apa yang dimaksudkan dengan merdeka dari sudut kewangan di sini adalah seseorang itu boleh bersara awal tanpa rasa ragu tentang kos sara hidupnya selepas itu, malahan boleh melakukan segala aktiviti yang tidak dapat, tidak sempat atau tidak mampu dilakukan ketika bekerja.
    • Bebas Untuk Bertukar Kerja. Seseorang yang merdeka dari sudut kewangan juga bebas untuk bertukar kerja atau profession. Jenis atau apakah pekerjaannya tidak bergantung pada jumlah gaji yang diterima tetapi lebih kepada faktor minat atau bentuk pencapaian yang ditentukan sendiri. Contohnya anda boleh membuat keputusan untuk berhenti kerja dan membuka perniagaan (mengikut bidang yang anda minat) tanpa rasa bimbang tentang masalah duit.
    • Boleh Merealisasikan Segala Impian Anda. Semenjak kecil pasti kita mempunyai impian masing-masing. Merdeka dari sudut kewangan juga bermaksud anda mampu untuk merealisasikan impian anda tanpa perlu rasa bimbang tentang masalah kewangan. Contohnya mempunyai rumah sebesar istana, pergi melancong keliling dunia atau membeli sebuah pulau di kawasan impian anda. Best kan.... :)

    Apa pula erti 'merdeka dari sudut kewangan' bagi anda???
    Sekian. Wassalam.

    Rujukan utama : Artikel - Financial Independence (Save Money Magazine).

    August 17, 2015

    Mesin Jahit


    Alhamdulillah...Setelah beberapa ketika membuat tabungan, akhirnya si dia idaman kalbu yang berwarna kelabu ini selamat tiba di rumah.

    Mesin jahit mudah alih ini mempunyai 32 corak jahitan, jahitan lubang butang 1 langkah, pemasukan benang automatik, lampu LED dan beberapa perkara lain. Memang agak user friendly untuk saya yang baru nak belajar jahit lurus ni.
    Nak tulis lebih-lebih pun, saya bukannya pandai sangat pasal mesin jahit. Lagipun entri kali ini tidak ditaja oleh SINGER...hahaha :)

    Jadi, weekend lepas memang busy siket. Mana nak belek-belek mesin jahit, nak baca manual dia, nak berangan angan nak jahit apa, nak tengok you tube pasal cara buat beg, nak pergi kedai membeli peralatan jahitan dan pergi open house yang masih berbaki...ehhh

    Dan akhirnya terhasilah...

    Walaupun potongannya masih sengat benget dan jahitannya bersimpang siur, tapi dalam hati tetap berbunga-bunga dan hidung pun kembang kempis bila anak-anak memuji.."Cantiknya beg yang Mama buat"...hihi..
    "Mak siapa???"
    "Mak saya"...(teringat kat dialog satu cerita kartun kegemaran anak-anak. :D )
    Yang part kualiti jahitan dan yang sewaktu dengannya tu, nanti mama dia boleh develop skill pelan-pelan. In shaa Allah, masih ada masa lagi nak belajar dan terus belajar..... Tak gitew Mak Jah, Kak Leha dan Long Senah...haha

    Ok. Sekian saja untuk cerita kali ni. Sorry, tak berapa sempat nak ber bw. Nanti saya singgah kat blog kawan-kawan ya...

    Wassalam.








    August 15, 2015

    6 Pesanan Imam Al Ghazali

    • Apabila berjumpa KANAK_KANAK, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak itu belum dibebani dosa
    • Apabila berdepan dengan ORANG TUA, anggaplah mereka lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita
    • Apabila berjumpa ORANG ALIM, anggaplah mereka lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dada
    • Apabila melihat ORANG JAHIL, anggaplah mereka lebih mulia kerana mereka berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita berdosa dalam keadaan mengetahuinya
    • Apabila berjumpa dengan ORANG JAHAT, jangan anggap kita mulia. Mungkin orang jahat itu akan bertaubat di kemudian hari sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita
    • Apabila bertemu dengan ORANG KAFIR, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

    Begitulah kehidupan. Jangan mudah untuk menghukum, mengadili dan memberi persepsi buruk kepada orang. Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan tidak selamanya akan terus buruk.

    Baca juga

    Sekian. Sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Moga yang lain juga mendapat manafaatnya.
    Wassalam.

    Sumber : whatsapp
    Gambar : Google



    August 13, 2015

    Antara Harga Dan Nilai

    Assalamualaikum
    "Harga adalah apa yang kita bayar dan nilai adalah apa yang kita dapat"

    Walaupun berkaitan, pasti ada maksud yang berbeza diantara harga dan nilai.
    Harga bermaksud sejumlah wang yang perlu dibayar untuk sesuatu barang atau perkhidmatan. 
    Nilai pula adalah sesuatu yang berguna, mempunyai makna atau berkualiti. Sesuatu perkara/barang dan perkhidmatan dikatakan mempunyai nilai jika ianya memberikan manafaat kepada si pembeli atau penggunanya.

    Contohnya jika membeli sebidang tanah pada harga RM100,000. Harga RM100,000 adalah jumlah wang yang perlu dibayar pada si penjual. Tapi, boleh jadi nilai sebanar tanah itu lebih rendah dari apa yang dibayar kerana lokasinya kurang baik atau tidak boleh dibuat sebarang pembangunan ke atas tanah tersebut. Namun, mungkin juga kerana tanah tersebut ada mempunyai 'sentimental value' atau nilai yang tersendiri, pasti si pembeli sanggup membelinya pada harga yang ditetapkan (walaupun agak mahal).

    Ada juga perkara yang tidak boleh diletakkan harga walau pun ada nilainya. Contohnya 'harga diri'. Tak pernah pula saya dengar atau baca tentang orang meletakkan harga pada dirinya. Contoh ayat : harga diri saya adalah RM1 juta...huhu. (statement ini tidak ada kaitan dengan harga atau wang hantaran perkahwinan). Pada pendapat saya, harga diri adalah maruah dan nilai tertentu yang ada pada seseorang.

    Bagaimana pula dengan kasih sayang?
    Kasih sayang yang benar-benar ikhlas juga tidak disandarkan dengan harga. Apalagi jika harganya turun naik mengikut harga pasaran...:D
    Tak pernah jumpa pulak orang bagi contoh ayat "Harga kasih sayang saya adalah USD50,000".
    Tapi jangan pernah lupa yang kasih sayang juga mempunyai nilainya yang tersendiri.....dan hanya diri kita sendiri sahaja yang boleh menentukannya.

    Sekian. Wassalam.

    Gambar: Google


    August 11, 2015

    Kenali Diri Melalui Rambut

    Assalamualaikum

    Menurut pakar, rambut juga memainkan peranan dalam menentukan personaliti seseorang.



    Rambut Lurus 
    Orang yang berambut lurus biasanya seorang yang bijak dan ceria serta pandai bergaya. Walaupun mempunyai sifat cemburu, si rambut lurus adalah seorang yang pandai menguruskan sesuatu tanpa pertolongan. 

    Rambut kerinting tebal 
    Tidak pandai menangani masalah dan kuat cemburu. Namun begitu si rambut kerinting tebal adalah seorang yang romantik dan mempunyai hati berbunga-bunga (dalam hati ada taman). Juga sangat peramah dan mudah untuk didekati. Golongan ini adalah golongan yang tidak suka bermenung dan membuang masa. Tapi awas, selalunya seorang yang degil dan cakapnya saja yang betul :(

    Rambut kerinting (ala negro)
    Sekali pandang, cute jugak...especially kalau baby girl. Orang yang memiliki rambut jenis ini adalah seorang yang bijak. Namun ada juga beberapa sikap negatif yang tidak begitu disenangi seperti ego, cemburu,  pemilih dan panas baran terutama jika gagal selesaikan masalah

    Rambut ikal mayang 
    Anda adalah seorang yang bijak dan sentiasa berfikir secara mendalam sebelum melakukan sesuatu, berfikiran terbuka, pandai bergaul dan mudah memaafkan seseorang. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa si rambut ikal mayang mengurai adalah seorang yang comel dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

    Rambut halus dan lembut 
    Dikatakan termasuk dalam golongan genius. Namun begitu, anda juga adalah seorang yang pemilih dan cerewet. Walaupun hatinya baik, golongan ini tidak begitu perihatin dalam menjaga hati pasangan. Antara sikap positif si rambut halus adalah pemaaf, manja dan akan melakukan segala pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.

    Rambut sedikit (Rambut sedikit yang asli, bukan kerana masalah keguguran rambut yang nyata)
    Termasuk dalam golongan yang bijak pandai, tetapi selalu berfikiran negatif pada seseorang. Walaupun tidak begitu disenangi kerana egonya yang tinggi, golongan ini amat pandai dalam bidang perniagaan. Kalau termasuk dalam golongan orang kaya, si rambut sedikit pasti akan disukai juga kan :O

    Rambut perang (Kalau perang sebab pergi kaler rambut, tidak dikira :) )
    Seorang yang dikatakan kurang bijak. Namun ada yang berpendapat bahawa golongan ini sentiasa berfikiran terbuka, pemaaf, cantik serta bijak bersosial. Teringat saya pada cerita Legally Blonde.

    Rambut tebal
    Golongan yang beruntung kerana tak perlu berbelanja untuk membuat rawatan lebatkan rambut..huhu. Si rambut tebal dikatakan sebagai seorang yang bijak. Namun begitu mereka ini selalunya degil dan cemburu. Tapi jangan bimbang jika pasangan anda termasuk dalam golongan ini kerana mereka sangat romantik dan pandai mengambil hati.

    Rambut Kusut
    Walaupun rambutnya kusut, golongan ini sangat pandai, berfikiran terbuka, pandai bergaul serta bijak menguruskan sesuatu tanpa bantuan. Tapi, golongan ini terkenal sebagai seorang yang garang dan susah untuk memaafkan seseorang. 

    Rambut Palsu
    Pendusta, pembohong, suka menabur janji-janji palsu. Jadi, berhati-hatilah jika berkawan dengan golongan ini. Walaupun dianggap sebagai seorang yang kreatif, orang yang menggunakan rambut palsu selalunya adalah seseorang yang takut pada kenyataan. 

    Tiada rambut @ Botak
    Kalau masih dipandang cute, memang cute lah orang tersebut walau tanpa rambut.. Senang dipandang terutama di waktu malam kerana adanya efek pantulan cahaya...hoho...jangan marah arrr :)

    Sekian. Hanya sekadar suka-suka. Tak pasti betul atau tidak...huhu
    Wassalam.

    Sumber: pelbagai
    Gambar : Google

    August 09, 2015

    Nilai Ringgit Turun Lagi

    Assalamualaikum


    Nampaknya nilai matawang kita telah turun lagi pada Jumaat lalu.
    Saya bandingkan dengan USD dan juga nilai matawang beberapa negara jiran.
    Tak payah nak cerita panjang-panjang jom tengok:

    Perbandingan diantara Ringgit Malaysia dangan Matawang Negara Lain
    Date USD SGD IDR100 THB100
    Dec 14 3.495 2.645 0.0281 10.627
    Jan 15 3.624 2.681 0.0287 11.073
    Feb 15 3.611 2.662 0.0281 11.154
    Mar 15 3.717 2.699 0.0284 11.423
    Apr 15 3.571 2.700 0.0276 10.863
    May 15 3.652 2.709 0.0276 10.829
    Jun 15 3.786 2.809 0.0284 11.205
    Jul 15 3.818 2.781 0.0283 10.867
    7 Aug 15 3.923 2.829 0.0290 11.151
    Nota:
    USD : US Dollar (Ringgit Malaysia ke 1 USD)
    SGD : Singapore Dollar (Ringgit Malaysia ke 1 SGD)
    IDR : Indonesian Rupiah (Ringgit Malaysia ke 100 Rupiah)
    THB : Thai Baht (Ringgit Malaysia ke 100 Baht)
    **Lagi besar nombor yang dipaparkan, bermakna kita harus keluarkan lebih banyak Ringgit Malaysia untuk pertukaran ke mata wang negara-negara tersebut. Contohnya, pada 7 Ogos 2015, kita harus mengeluarkan RM3.923 untuk mendapatkan 1 Dollar Amerika (1 USD) berbanding dengan RM3.495 pada 31 Disember 2014.

    Apakah implikasi sekiranya nilai matawang turun?
    • Jumlah pelancong akan bertambah kerana kos di Malaysia menjadi murah jika dibandingkan dengan nilai matawang negara mereka (tapi ada faktor lain yang akan menarik para pelancong asing. Kestabilan politik dan sosial contohnya....)
    • Keuntungan (ekport) akan bertambah bagi syarikat/perusahaan yang membuat transaksi menggunakan USD
    • Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara akan lebih memahami erti berjimat cermat disebabkan oleh nilai matawang kita yang semakin mengecil :(
    • Semangat untuk membeli barangan tempatan akan meningkat disebabkan kenaikan harga barangan impot.
    Dan pastinya ada banyak perkara negatif bila nilai matawang semakin menurun. Nak cakap lebih-lebih pun susah. Jadi, saya cuma mahu mengambil kata-kata dari Pelawak Nabil..."Lu Pikirlah Sendiri"....huhu :(

    Sekian. Wassalam


    August 06, 2015

    Work Life Balance

    Assalamualaikum

    Ketika entri /posting ini ditulis, saya masih lagi dalam perjalanan pulang (nasib baik naik komuter, boleh jugak buat entri..huhu).
    Pastinya ketika ini saya membayangkan alangkah bagusnya jika saya balik kerja lebih awal dan telah pun berada di rumah bersama keluarga.


    Saya juga pasti semua orang mahukan kehidupan yang seimbang di antara kerjaya dan keluarga (work life balance). Tapi apakan daya...

    Namun, tiada yang mustahil jika kita berusaha untuk mengubah cara yang terbiasa demi kehidupan yang lebih seimbang. Walaupun berhenti kerja bukanlah pilihan yang terbaik untuk waktu ini (bagi saya), namum pasti ada caranya untuk 'mencari' lebih masa untuk diri dan keluarga.

    Setelah di 'google', saya berjumpa beberapa tips berikut. Jom semak.
    • Membuat jadual peribadi supaya anda dapat mengimbangkan masa antara keduanya. Pastikan anda juga cukup 'disiplin' untuk mematuhi jadual tersebut.
    • Kurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah ketika di tempat kerja supaya anda boleh pulang lebih awal ke rumah. Contohnya kurangkan bergossip dan bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah :)
    • Kerja...sampai bila pun memang tak kan habis. Jadi, anda harus bijak untuk merancang dan membuat priority tentang kerja mana yang harus dilakukan terlebih dahulu. Mana yang tidak begitu urgent atau penting, boleh buat esok kan...huhu
    • Selain dari kerja di pejabat, kerja di rumah juga ada banyak yang menanti terutama bagi kaum ibu yang tidak mempunyai pembantu. Oleh itu, jika berkemampuan, silalah beli peralatan yang dapat meringankan kerja-kerja anda contohnya mesin pengering pakaian, air fryer dan sebagainya. Anda boleh juga mengupah orang untuk membersihkan rumah di hujung minggu supaya mempunyai lebih banyak masa yang berkualiti untuk keluarga.
    • Pastikan anda juga bijak 'mencuri' masa untuk diri sendiri. Meluangkan masa bersama keluarga memang penting, tapi mencari masa untuk melakukan aktiviti yang dapat menggembirakan hati sendiri juga perlu (contohnya shopping, tengok tv, berblogging). Diri sendiri... perlu di 'reward' juga kan...
    Semoga tips-tips di atas bermanafaat untuk semua dan untuk saya juga.

    Sekian. Wassalam

    Gambar: google
    Sumber: pelbagai


    August 05, 2015

    Best Friend

    Assalamualaikum

    Semua orang pun mesti ada sahabat karib, best friend atau bff. Kalau tak ada, mesti hidup rasa sunyi dan membosankan. Betul tak?



    Kenapa kita perlu ada sahabat karib atau kawan baik?
    • Sebagai teman di waktu susah dan senang. Seorang teman yang baik tidak akan meninggalkan temannnya walaupun dalam keadaan susah. 
    • Sebagai tempat mengadu apa-apa masalah yang patut di adu. Lebih kurang macam biro aduan lah. Tapi sebagai sahabat yang dijadikan tempat mengadu itu pun, haruslah juga pandai menyimpan rahsia. Jangan pulak dijajanya masalah si polan tu sampai satu kampung tahu. 
    • Sebagai tempat untuk meminta khidmat nasihat. Sebagai sahabat, pastinya orang itu lebih memahami masalah kita dan akan memberi nasihat yang terbaik dan bersesuaian.
    • Sebagai teman untuk ke mana-mana. Biasanya perempuan lah yang perlu kawan yang macam ni. Nak makan, nak shopping, nak pergi riadah, nak pergi dengar ceramah agama, kelas mengaji dan sebagainya. Kan tak best kalau pergi sorang-sorang. Kalau ada kawan, boleh jugak  berbincang. Tak gitu?
    • Sahabat yang baik, pasti akan membuat anda tersenyum. Lebih-lebih lagi kalau ada sahabat yang pandai membuat lawak jenaka. Kan best jika ada sahabat yang sebegitu. Sekurang kurangnya dapat juga menghilangkan stress dengan lawak-lawak dia orang.


    Tapi, jangan lupa. Ada bezanya bila berkomunikasi dengan sahabat perempuan dengan sahabat lelaki. Betul tak?...


    Semoga persahabatan dan silaturrahim anda dengan sahabat-sahabat baik anda berkekalan. Aamiin.

    Sekian. Wassalam.
    Pic : Google


    p/s: Maaf, aktiviti BW slow siket lately. In shaa Allah, jika ada kesempatan, saya akan singgah. Sorry arr....

    August 02, 2015

    Kita Hanya Merancang

    Assalamualaikum

    Perjalanan hidup adalah sebuah pilihan. Tersalah memilih langkah, memang buruk padahnya. Hidup juga adalah sebuah perancangan. Namun, kita hanya mampu merancang, Allah jualah yang maha menentukan.

    Dalam hidup ini, ada kalanya perancangan yang kita buat tidak menjadi. Lebih-lebih lagi jika perkara tersebut telah dirancang dengan kemas dan teliti. Pasti ianya akan mendatangkan kekecewaan yang amat, sampai kadang-kadang kita terlupa yang Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita.



    Di sini saya ingin kongsikan beberapa kata semangat atau quotations. Jom baca.
    Harapnya dapat juga memberikan motivasi pada yang memerlukan, tak kiralah atas sebab apa. Saja nak share...sebab hobi saya memang mengumpul quotations. Sebelum dia hilang (sebab kadang-kadang lupa simpan kat mana), baik letak kat sini :)

    "The only way to stop the pain in your life is to accept the fact that NOTHING HAPPENS WITHOUT THE PERMISSION of Allah SWT" - betulkan, segala yang berlaku adalah di atas keizinan Allah jua.

    "Ya Allah, jika suatu saat aku KEHILANGAN harapan dan tujuan ku, berikan aku KEYAKINAN bahawa TAKDIR Mu adalah lebih baik daripada apa yang aku ingin dan impikan"

    "Whatever disappears from your life that you thought was the reason for your happiness, be sure that Allah took it away from you before it became the reason for your misery" - Allah Maha Mengetahui apa yang lebih baik dan terbaik untuk kita.

    "Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik untuk kamu. Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui" (Surah Al Baqarah, 216)

    "When Allah tests you, it is never to destroy you. When He removes something in your possession, It is (only) in order to empty your hands, for an even greater gift" - Boleh jadi kehilangan sesuatu itu kerana Allah ingin menggantikannya dengan yang lebih baik.

    Pesan Ustaz Kazim Elias: Ketika kamu berasa sedih, pejamkan mata mu dan katakan dalam hati mu " Inilah perjalanan hidup ku. Allah Ta'ala yang meletakkan aku di sini. Semua ini perancangan Allah. Jadi, aku mesti teruskan perjalanan hidup ini kerana aku percaya di atas setiap ketetapan-Nya. Dan aku terima Qada dan Qadar diriku. Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Terima kasih Ya Allah, kerana mengasihiku" Selepas itu, bukalah mata mu dan senyumlah.




    Sekian. Wassalam.


    Gambar : Google
    Sumber: Pelbagai


    August 01, 2015

    Nafas Baru

    Assalamualaikum.

    Sewaktu mencari cari pakaian untuk ke majlis 'open house' sahabat saya, ternampak pulak baju yang dah agak lama terbiar sepi.
    Rasa teringin nak buat 'enhancement' kat baju tu. Sebenarnya, bukan apa pun, cuma tambah (border) lace kat lengan aje. Cari punya cari, inilah 'material' yang harganya paling berpatutan sekali dalam sebuah kedai menjual lace di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR).
    Dan inilah juga hasilnya....Dalam erti kata lain, 'selamat' duit Mak Ngah. Tak perlu sibuk-sibuk nak pergi beli baju baru...hoho


    Sebab fenomena seperti ini jarang-jarang berlaku, saja nak tepek gambar kat sini sebagai kenangan.  


    Walaupun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, best jugak sebenarnya buat benda ni. 
    Selain daripada baju nampak lain siket kerana diberi nafas baru (eceh...hihi), dapat juga jimatkan belanja.
    Lagipun, memang tidak seharusnya kita membazir, terutamanya sewaktu semua harga barang naik..:(
    Jadi, mana-mana baju yang masih elok dan boleh lagi dipakai, gunakan sajalah sebagai langkah berjimat. Tak gitu?


    Sekian. Wassalam



    Thank You Jari Manis

    Assalamualaikum
    Semalam.... sampai juga kiriman kad raya dan juga duit raya dari Blogger Jari Manis atau lebih dikenali sebagai JM...:)



    Terima kasih daun keladi JM..i like!

    Kepada sesiapa yang belum mengenali blogger JM bolehlah singgah ke blognya di jarimanistravel.blogspot.com. Macam-macam cerita dan tips tentang 'perjalanan' dan percutian ada di situ. Tak rugi baca. Silalah jengah.

    Kepada JM, terima kasih sekali lagi.
    Semoga persahabatan dan silaturrahim berkekalan.
    Semoga murah rezeki selalu. Aamiin

    Sekian. Wassalam.