March 26, 2015

Mentari Senja




Mentari senja.....
Warna merah di ufuk sana
Ada sinar di hujung cahaya
Kian kelam di telan maya

Mentari senja
Menunggu saat malam menjelma
Hukum alam sejagat raya
Bukti kuasa yang Maha Esa

Mentari senja
Lenyapkan sepi hilangkan lara
Moga esok adanya bahagia
Bersama terbitnya sang fajar semula


Fidah Shah
@26 Mac 2015

Pic : Google

This entry was posted in

March 25, 2015

Johor...Negeri Ku


Berikutan dengan pertabalan Sultan Johor dan Permaisuri Johor, ada begitu banyak artikel-artikel tentang Negeri Johor. Saya juga dengan banggannya ingin memberi tahu yang saya juga adalah orang Johor.
Walaupun sekarang sudah menetap di Selangor, saya tetap Anak Johor :)

Saya ingin berkongsi serba sedikit fakta tentang Negari Johor:

  • Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab "Jauhar" yang bermaksud "Permata Berharga"
  • Johor terbahagi kepada 10 daerah (Johor Bahru, Kulaijaya, Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Muar, Batu Pahat, Mersing dan Ledang)
  • Johor di sempadani oleh Melaka, Pahang dan Singapura.
  • Johor negeri pertama yang mempunyai tentera sendiri (dikenali sebagai Askar Timbalan Setia) dan dibiayai oleh Kerajaan Johor sehingga kini.
  • Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu / United Malay National Organisation (UMNO) ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, Johor
  • Orang Johor ada dialek tersendiri. Kalau selimut di panggil gebor. Kalau almari dipanggil gerobok. Kalau makanan ringan dipanggil jajan.
  • Orang Johor banyak menggunakan perkataan 'eekkk' di belakang ayat. Contoh ayat : "Awak, kita jalan dulu eekkk".
  • Sesetengah orang Johor membahasakan dirinya 'orang'. Contohnya ayat : "Orang nak pergi makan" walaupun nama sebenarnya adalah Aminah atau sebagainya.
  • Orang Muar (sebuah daerah di Johor) juga ada dialeknya yang tersendiri. Mereka menukarkan huruf terakhir dengan huruf  'O'..tapi, bukan semua perkataan.
  • Huruf 'R' seperti silent untuk orang Johor dibelakang kerana orang Johor tidak akan sebut JOHOR tapi JOHO. Bukan MUAR tapi MUO.
  • Orang Johor juga akan menukarkan perkataan yang akhirnya 'AR" dengan 'O'. Contoh ayat : "Saya TAMPO awak"...(instead of TAMPAR)....huhu
  • Orang Johor sebut menguap sebagai sangap
  • Orang Johor sebut berdating sebagai 'Berendut'. Kalau boyfriend atau girlfriend pun dipanggil 'Endut'. Contoh ayat : "Aku nak jumpa endut aku"
  • Kita memperkenalkan resipi Mee Bandung, walau mee ini tiada kaitan dengan Bandung yang terletak di Indonesia. Selain daripada itu, laksa Johor, Mee Rebus dan Nasi Bariyani Gam adalah makanan yang popular di Johor.
  • Telur pindang adalah makanan orang Johor. Telur ini amat terkenal sewaktu majlis kenduri perkahwinan.
  • Negeri Johor adalah negeri terakhir mendapat Residen.
  • Daerah PONTIAN (sebuah daerah di negeri Johor) letaknya di penghujung PENGHUJUNG BENUA ASIA......Kampung saya tu!!


Sekian. Wassalam.

March 19, 2015

Tips Mencari Idea Baru

Assalamualaikum.


Mencari idea-idea baru untuk melakukan sesuatu?
Apa kata kalau kita cuba tips-tips ini. Manalah tahu, kalau-kalau boleh membantu....

  • Mencari Inspirasi. Carilah sumber inspirasi anda. Inspirasi penting untuk kita terus bersemangat dan memberikan idea-idea kreatif yang baru.
  • Cuba melihat masalah dari perspektif yang berbeza. Cara kita berfikir dan melihat sesuatu akan memberikan solusi yang berbeza. Cubalah. Mungkin ada idea-idea lain yang datang mencurah dan boleh membantu kita untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang lebih kreatif.
  • Belajar. Educate yourself. Ada banyak caranya. Belajar di kelas formal, mencabar (challange) pendapat atau idea orang lain...tapi, tidaklah sampai berdebat, membaca buku dan yang paling mudah...baca blog rakan-rakan anda..huhu.
  • Berbincang dengan rakan. 2 heads are better than 1. Lebih banyak orang, lebih banyak idea.  Maka dengan itu, tidak salah kalau selalu mengadakan perbincangan bernas dengan rakan-rakan.
  • Get away from familiar places. Pergilah ke tempat lain.Sesetengah orang tidak suka duduk sepanjang masa di pejabat. Kalau diberikan flexilibility, boleh saja bekerja di luar pejabat, misalnya di cafe-cafe atau pun di rumah. Mana tau, dengan melihat suasana baru, akan menambahkan idea dan kerativiti.
  • Carilah Mentor. Carilah orang yang berpengalaman dan pakar dalam bidang yang cuba anda lakukan. Pasti ada banyak tips-tips yang bagus yang boleh dikongsi. Banyak pengalaman, luas pandangan...tak gitu?
  • Mencari inspirasi dari pesaing. 'Pesaing' tidak semestinya menjadi musuh. Berbincanglah tentang apa saja topik. Secara tidak langsung ada boleh lihat cara pemikiran mereka dan juga menganalisa apa yang perlu anda perbaiki.
  • Disconnet and clear your mind. Bebaskan diri anda dari masalah yang membebankan untuk sementara waktu. Berehatlah. Tenangkan fikiran. Pergi jauh kalau perlu. Ambillah masa. Dan ada banyak caranya...seperti pergi melancong, berjalan-jalan, bershopping, memanjakan badan di spa dan sebagainya.
  • Eksperimen. Sesetengah orang takut untuk mencuba sesuatu yang baru kerana takut gagal. Tapi, kegagalan akan memberikan pengalaman and pelajaran baru. Lebih banyak mencuba, lebih banyak kita belajar dan pastinya akan muncul idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah dengan pelbagai cara.
  • Bersukan. Bersukan akan meningkatkan tahap adrenaline. The adrenaline boosts your energy and creativity. Lebih kreatif, maka lebih banyak idea. Jadi apa lagi..carilah pakaian dan kasut sukan anda......pergilah bersukan.
Itu saja tips untuk kali ini. Semoga bermanafaat.

Sekian. Wassalam
pic : google.

March 15, 2015

Bintang Malam


BINTANG MALAM

Antara matahari dan juga rembulan
Ku pilih bintang yang berkelipan
Cahayanya terang menghias maya
Tebarkan pesona di cakrawala

Hamparan bintang jauh di langit
Gemilang sinarnya munusuk kalbu
Rona malam indah berkilauan
Betapa agungnya ciptaan Tuhan

Wahai bintang yang beribu

Berikan cahaya mu, terangi malam ku
Bangunkan aku dari lamunan
Mencari hakikat, segunung harapan




Fidah Shah
@15 March 2015

Pic : Google




This entry was posted in

March 14, 2015

GST : Adakah Kita Sudah Bersedia?

Assalamualaikum.


Seperti yang kita sedia maklum, Goods and Services Tax (GST) atau cukai barangan dan perkhidmatan akan berkuatkuasa bermula 1 April 2015. Memandangkan ianya adalah sesuatu yang baru dilaksanakan, elok juga kalau kita bersiap sedia.

Apakah yang dimaksudkan dengan GST?


GST adalah cukai yang dikenakan pada setiap peringkat sama ada pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna. GST juga merupakan satu sistem cukai tambah nilai atau value added tax (VAT). Ini bermakna cukai akan bertambah pada setiap urusniaga. GST dikenakan pada setiap urus niaga kecuali jika urus niaga itu diberi pengecualian. Walaupun GST akan dikenakan pada setiap urusniaga, namun pada akhirnya pengguna akan membayar sekali sahaja kerana GST mempunyai mekanisme kredit cukai input atau input tax credit di mana cukai yang dibayar oleh sesebuah firma dalam proses pembuatan dan pengagihan boleh dituntut semula. Cuma pengguna akhir sahaja yang tidak dapat meminta balik cukai yang dibayar oleh mereka.


Pengguna
  • Perubahan pada belanjawan keluarga. Bersiap sedia dengan segala kemungkian tentang kenaikan harga barang. Lebih teruk, jika ada para peniaga yang mengambil kesempatan untuk suka suki menaikkan harga.
  • Jadilah pengguna bijak. Perlu juga rajin buat survey, di mana kedai yang menjual barangan murah lebih murah. Contohnya barangan basah seperti ikan, ayam dan juga sayuran. Walaupun kebanyakan barangan makanan tidak dikenakan GST, pengetahuan tentang kedai mana yang menjual lebih murah, mungkin dapat membantu niat murni kita untuk berjimat cermat. Eerrmm...saja nak bagi tau, kalau ikut senarai, tempe dan tauhu kena cukai, hokkeh!.
  • Pendidikan berterusan. Harus mengambil tahu tentang hal-hal yang berlaku disekitar dan menambah pengetahuan tentang pertambahan dan pengurangan harga supaya kita tidak mudah ditipu dan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, harus juga memberi pendedahan kepada anak-anak kita tentang cukai ini supaya mereka lebih peka dengan perubahan perbelanjaan keluarga. Contohnya jika belikan mereka ais krim, anda makan 6% daripada ais krim tersebut dan tinggalkan bakinya pada anak anda. Bukanlah cuba untuk berlaku zalim, tapi inilah realiti kehidupan....huk..huk..
  • Ketahui hak anda sebagai pengguna. Senarai barang-barang yang dikenakan cukai 6% GST dan tidak dikenakan cukai telah pun disediakan. Sebagai pengguna bijak, kita harus peka terhadap senarai barangan ini. Senarai terperinci boleh didapati di laman web rasmi GST.

Peniaga:
Serba sedikit tentang apa yang perlu diketahui dan disediakan oleh pihak peniaga.
  • Mendaftar untuk GST. Syarikat yang jumlah jualannya melebihi RM500,000 harus mendaftar sebagai syarikat layak GST. Walau bagaimana pun, syarikat yang jumlah jualan tahunannya kurang dari RM500,000 digalakkan juga untuk mendaftar (secara suka rela)
  • Format invoice. Demi menjamin ketelusan sepanjang masa, ada beberapa perkara yang perlu dipatuhi contohnya perkataan invois cukai seperti yang ditetapkan, nombor rujukan pendaftaran GST, harga barangan atau perkhidmatan, serta jumlah cukai yang dikenakan.
  • Pelaburan Infrastruktur. Ini termasuk juga perbelanjaan untuk program perakunan atau accounting program/software yang 'GST friendly'....huhu. Pastinya pengiraan cukai ini agak sukar jika dilakukan secara manual. 
  • Pengetahuan tentang GST. Selain daripada mengetahui tentang barangan yang dikenakan GST, pihak peniaga juga perlu tahu segala peraturan yang telah ditetapkan termasuk jangkamasa penghantaran dan pembayaran GST kepada pihak berwajib.

Sekian saja perkongsian untuk kali ini. Pendapat peribadi saya, perlaksanaan GST memang akan dapat menambah pendapatan negara. Namun, perlaksanaanya haruslah telus, tidak membebankan dan hasilnya benar-benar digunakan untuk pembangunan negara dan kepentingan rakyat jelata.


Wassalam.

Sumber: Google
Gambar: whatapps

March 09, 2015

Bersara Umur 62 Tahun?

Assalamualaikum

Melanjutan umur persaraan kepada 62 tahun?. Alamatnya, lama lagilah nak pencen...hoho. Mungkin niatnya baik, untuk terus memberikan pendapatan tetap kepada golongan sasaran. Tapi ada juga yang memberikan perspektif yang berbeza. Sebenarnya, ada pelbagai reaksi yang timbul tentang cadangan dari CUEPACS (The Congress of Unions of Employees) ini. Tidak kurang juga yang memberi cadangan ke arah penambahbaikan. Antaranya:


  • Tahap kesihatan sangat penting nampaknya. Kalau nak bekerja sampai umur 62 tahun harus sentiasa sihat dan fit, betul tak? Jadi, haruslah meningkatkan tahap kesihatan supaya dapat terus bekerja dengan cekap dan bersemangat. Nak bagi contoh pun, Mak Jemah tak tau. Tapi, cuba bayangkan, kalau guru-guru dan cikgu-cikgu yang umur 62 tahun kena berdiri mengajar di kelas lebih dari 1 jam. Kelas pulak di tingkat 4 (harus panjat tangga). Agak-agak, steady lagi tak Kak Senah?
  • Perlindungan Insuran. Mungkin perlu juga dikaji dan ditambah coverage- nya. Pendapat orang awam seperti saya, semakin bertambah usia, badan pun semakin lemah jika dibandingkan dengan golongan muda. Tulang belulang pun semakin rapuh dan penyakit-penyakit pun semakin mudah datang. (Tapi, mungkin ada teori klinikal yang mengatakan sebaliknya.....). Jadi, risiko kemalangan di tempat kerja juga boleh meningkat. Bukanlah mintak perkara-perkara yang buruk berlaku, tapi harus juga bersedia sepanjang masa.
  • Saringan emosi. Rasanya perlu tak? Orang kata, makin tua, makin romantis sensitif. Orang kata ya...bukan Mak Jemah. Walau hati emas, emosi mesti stabil. Harap tak ada masalah bagi bos-bos muda nak memujuk Pak Cik dan Mak Cik sekelian untuk meningkatkan lagi produktiviti bekerja. Keupayaan bekerja juga tidak boleh menurun, demi mencapai matlamat dan objektif organisasi. Ada juga kawan di pejabat (lelaki) yang meluahkan perasaan tadi. "Kalau Akak Nenek umur 62 tahun dan staff baru (perempuan) umur 22 tahun merajuk, akak rasa, saya nak pujuk yang mana?...eeerrrmmmmm
  • Peluang pekerjaan untuk golongan muda. Mak Jemah rasa, dengan melanjutkan usia persaraan kepada 62 tahun, sedikit sebanyak akan menyekat peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat golongan muda. Tapi, ada yang mengatakan bahawa pendapat Mak Jemah itu adalah salah sama sekali...huhu. Walau apa pun, perkara ini harus dilihat secara lebih holistik. Sekurang-kurangnya, peluang pekerjaan untuk golongan muda harus disediakan, supaya bakat, potensi dan tenaga belia kita tidak sia-sia. Seperti kata pepatah...Yang Tua Di Hormati, Yang Muda Di Kasihi. Tak gitu?
  • Coach Warga Emas di KTM Komuter. Mak Jemah memang amat berterima kasih dengan pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM Komuter) kerana menyediakan Coach Khas untuk Wanita supaya perjalanan bagi kaum Hawa ke tempat kerja, lebih selesa dan selamat. Harap-harap, dengan cadangan perlanjutan umur persaraan ini, pihak KTM Komuter juga akan mengambil kira cadangan penambahan coach keretapi, khas untuk Warga Emas pulak. Maklumlah, bila umur dah semakin meningkat, takut ramai pulak yang tak larat nak memandu kereta ke tempat kerja. Badan pun dah lemah, mata pun dah kelam-kelam. Itu tak ambik kira jalan jem lagi...
Itu saja lah yang larat Mak Jemah tulis setakat ini. Mungkin ada banyak juga kesan-kesan positif dari cadangan melanjutkan umur persaraan kepada 62 tahun yang boleh dibincangkan di entri/posting yang lain...Sekian saja dulu

Wassalam

Gambar : whatapps

March 08, 2015

Kiranya Itu Yang Terakhir


Hari ini, 8 Mac 2015. Bererti sudah 4 tahun arwah Emak meninggalkan kami semua. Semuanya terasa masih baru.



Teringat pada malam 7 Mac 2011, entah kenapa malam tu, saya rasa seperti mahu bermalam di hospital menemani Emak walau pun pada malam itu bukanlah giliran saya menjaganya. Sekitar jam 9 malam saya sudah tiba di hospital. Tidak lupa juga membawa segala pakaian dan kelengkapan untuk pergi terus ke pejabat (dari hospital) untuk keesokkan paginya.

Tiba di hospital, kelihatan Adik dan Abah sudah bersiap-siap untuk pulang (mereka telah berada di hospital dari pagi). Dari pukul 9 menginjak ke pukul 10, dan kemudian ke 11 dan 12 malam, hanya saya berdua bersama Emak. Kelihatannya Emak saya begitu tenang seperti orang tidur.
Hampir jam 12.30 malam, ketika saya hampir terlelap, tiba-tiba terdengar suara Abang saya
 " Rasa tak sedap hati pulak tinggalkan Mak dangan kau berdua. Aku tidur sekali lah kat sini"

Dalam pukul 1 lebih, tiba-tiba keadaan Emak menjadi tenat. Paras oksigen turun secara mendadak. Sangat panik sebenarnya, nasib baiklah Abang saya ada di situ. Kalaulah saya seorang, mungkin juga tidak tahu bagaimana nak menghadapinya.

"Kalau nak panggil saudara mara, boleh lah panggil" hanya itu sahaja pesanan doktor yang masih saya ingat.

"Sambung baca Yassin, biar aku call adik dan sedara mara" Abang saya memberi arahan.

Dalam 15 minit kemudian, Adik saya dan isterinya tiba. Mujur juga rumahnya berada di sekitar Ampang. Dapat juga sampai dengan cepat di waktu-waktu kecemasan begitu. Abang dan Adik bergilir-gilir mengajar emak mengucap kalimah syahadah...dan tepat jam 2.45 pagi, 8 Mac 2011, Emak yang kami sayang meninggalkan kami semua.

Apa yang saya rasa pada masa itu?..Semuanya rasa kosong. Cuma yang saya tahu, saya sudah tiada Emak. Perasaan sedih, tak boleh nak cerita. Sedih sangat. Namun saya bersyukur, Emak meninggalkan kami dengan keadaan yang cukup tenang dan kami 3 beradik semuanya ada di sisi Emak ketika beliau meninggalkan kami.

Pagi itu, untuk pertama kali dalam hidup, saya berpeluang untuk memandikan jenazah. Di beri panduan step by step dan di bawah pengawasan orang-orang yang arif tentangnya, saya, adik dan adik ipar sama-sama memandikan jenazah Emak.
Abang saya hanya memerhatikan dari jauh. Saya ingat lagi kata-katanya. "Sejak Emak sakit, tiap-tiap pagi, sebelum pergi kerja, aku selalu mandikan Emak. Tapi hari ni, aku tak sampai hati. Korang 'mandikan' Mak baik-baik ya"

Dalam jam 10 pagi, jenazah Emak selamat dikebumikan di salah sebuah tanah perkuburan di Keramat, Kuala Lumpur. Walaupun sedih yang amat sangat, saya bersyukur, segala urusan tentang pengkebumian berjalan dengan lancar. Semoga Emak saya bersemadi dengan tenang.

Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa Emak saya. Semoga roh Emak saya ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman. Dan semoga Emak saya menjadi sebahagian dari ahli-ahli syurga. Aamiin..Aamiin. Ya Rabbal 'alamin.

Al Fatehah.

Gambar : Google





March 04, 2015

Quote 1 : Kepercayaan

Assalamualaikum
Dah lama tak update blog. Berabuk dah....huhu
Masa membelek-belek koleksi quotations yang saya simpan tadi, terjumpa pulak dengan quotation ini. Segalanya tentang kepercayaan atau trust.



Sorry works when a mistake is made, but not when trust is broken.
So in life, make mistakes but never break trust.
Because forgiving is easy, but forgetting and trusting again, is sometimes impossible.



Mahalnya harga sebuah "kepercayaan".
Kepercayaan merupakan satu konsep yang diaplikasikan dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita memberikan kepercayaan atau diberi kepercayaan oleh orang-orang disekeliling contohnya pasangan, kawan, boss, pekerja dan sebagainya.
Bayangkan dalam keadaan kita sudah tidak mempercayai atau dipercayai lagi. Tentu sedih kan?
Dan untuk mengembalikan kepercayaan itu, mungkin tidak semudah meminta maaf. Bergantung kepada keadaan, ianya mungkin mengambil masa yang lama atau tiada lagi peluang untuk diberi kepercayaan.
Jadi, hargailah kepercayaan yang diberikan...selagi ada.

"It took years for us to give trust, but it took just a few seconds to destroy it"

Sekian. Wassalam.